Air Sungai Muda terlalu keruh, LRA Sungai Dua terpaksa dihenti tugas sementara - PBAPP
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 6, 2022 17:26 MYT
Julai 6, 2022 17:26 MYT
BUTTERWORTH: Kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang terputus bekalan air selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bertindak menghenti tugas sementara di Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua, Butterworth.
PBAPP dalam satu kenyataan memaklumkan loji tersebut terpaksa dihenti tugas selama kira-kira empat jam sejak lapan pagi tadi ekoran air mentah dari Sungai Muda terlalu keruh untuk dirawat dengan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya terpaksa menggerakkan kerja-kerja kejuruteraan tindak balas kecemasan berkaitan pengeluaran air di LRA Sungai Dua selepas terdapat kekeruhan air mentah (NTU) pada kadar luar biasa tinggi.
“Pada jam 6.00 pagi hari ini, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan adalah 3,000 NTU. Ini adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi. Kekeruhan normal air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
“Langkah kecemasan ini adalah perlu untuk mengelakkan pengeluaran air terawat yang tidak selamat yang tidak mematuhi parameter Kawalan Kualiti Air Minuman yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya lagi.
Justeru sebagai langkah pemulihan, PBAPP telah mengurangkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan air mentah yang disimpan di Empangan Mengkuang untuk mengurangkan kekeruhan air mentah di Terusan Sungai Dua.
Bagaimanapun katanya, LRA Sungai Dua kembali beroperasi semula pada jam 12 tengah hari tadi secara berperingkat selepas pihaknya mendapati paras kekeruhan air mentah berada pada tahap yang boleh diterima.
“Pada jam 12.00 tengah hari, apabila paras kekeruhan air mentah yang memasuki loji berada pada tahap yang boleh diterima, PBAPP memulakan semula operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua secara berperingkat,” ujarnya.
Gangguan bekalan air di kebanyakan kawasan di Seberang Perai yang berlaku secara tiba-tiba turut tular di media sosial apabila ianya dikaitkan dengan kejadian banjir yang berlaku di Baling Kedah yang menyebabkan air di Sungai Muda menjadi terlampau keruh.
Keadaan itu sekaligus menimbulkan suasana panik apabila orang ramai mula membeli air mineral dalam kuantiti yang banyak sebagai persediaan.
Mengulas lanjut, Jaseni berkata, henti tugas sementara LRA Sungai Dua menyebabkan tekanan air di semua saluran paip utama di Seberang Perai dan Pulau Pinang menurun.
“Henti tugas sementara LRA Sungai Dua menyebabkan tekanan air di semua saluran paip utama di Seberang Perai dan Pulau Pinang menurun. Ini kerana LRA Sungai Dua mengeluarkan lebih 80% air terawat yang dibekalkan di seluruh Negeri Pulau Pinang setiap hari.
“PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan sementara yang berlaku. Bagaimanapun, semua pengguna yang terjejas perlu tahu bahawa peningkatan mendadak dalam kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah faktor yang di luar kawalan PBAPP," jelasnya.
Sementara itu, Jaseni berkata, PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada jam 12 tengah hari esok.
Ujarnya, PBAPP akan terus memantau kekeruhan air yang diabstrak dari Sungai Muda secara berterusan selama 24 jam selain akan terus melepaskan air dari Empangan Mengkuang bagi memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua.