Air sungai melimpah, kampung di Kunak dilanda banjir
Bernama
Februari 20, 2024 14:28 MYT
Februari 20, 2024 14:28 MYT
KUNAK: Hujan lebat berterusan di hulu Sungai Kalumpang pada awal pagi tadi menyebabkan air sungai itu melimpah, dan mengakibatkan kejadian banjir di Kampung Airport Batu 10 Tun Fuad di sini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kunak dalam kenyataan memberitahu air sungai mula melimpah pada pukul 3.10 pagi tadi di kawasan kampung berkenaan, namun keadaan masih terkawal.
"Setakat ini, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu.
Menurutnya beberapa anggota telah ditugaskan untuk memantau keadaan di kawasan berkenaan, dan pelbagai aset antaranya bot, sudah bersiap sedia untuk digerakkan sekiranya keadaan bertambah serius.
Selain itu menurutnya satu pusat transit telah disediakan di sebuah dewan di kampung berkenaan, bagaimanapun setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
-- BERNAMA