Air sungai melimpah: 30 buah rumah di Chemor terjejas
Abd Razak Mohd Ali
Mac 14, 2022 19:13 MYT
Mac 14, 2022 19:13 MYT
IPOH: Kira-kira 30 buah rumah di beberapa kawasan di Chemor, dekat sini, dinaiki air ekoran air Sungai Chepor melimpah, awal pagi ini.
Kawasan yang terlibat ialah Kampung Seri Klebang Tambahan 2 dan Desa Seri Chepor.
Seorang penduduk, Mohd Faizal Che Hassan, 36, berkata, rumah mereka dinaiki air kira-kira jam 3.30 pagi walaupun keadaan cuaca baik.
Menurutnya, kebanyakan penduduk yang sedang tidur ketika itu terjaga selepas dimaklumkan saudara mara bahawa air sungai semakin naik dan bergegas menyelamatkan barangan berharga serta dokumen penting.
"Dalam tempoh beberapa jam, air mula naik hingga paras dada. Ini kejadian pertama berlaku tahun ini dan banyak barangan seperti perabot serta peralatan letrik rosak," katanya ketika ditemui.
Ekoran dari itu, katanya, mereka tidak dapat tidur lena kerana bimbang air akan terus naik, lebih-lebih mengetahui fasa peralihan monsun yang dikatakan bermula hari ini.
Sementara itu, suri rumah, Nurul Afida Mohamed berkata, mereka mengetahui banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di Sungai Siput yang terletak kira-kira 20 kilometer dari kediaman mereka.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak menyangka sama sekali rumah mereka akan turut terkesan.
"Air mula surut jam 9 pagi dan kami mula mengemas tetapi kalau tengok keadaan cuaca sekarang, kami bimbang berlaku lagi banjir kilat," ujarnya.
Menurutnya, situasi banjir di kawasan itu memang telah lama berlaku dan keadaan longkang yang sempit tidak lagi mampu menampung air hujan.