Air Selangor pemegang lesen tunggal perkhidmatan air mulai 13 Sept

Isabelle Leong
September 10, 2019 22:15 MYT
Logo baharu Air Selangor yang dilancarkan hari ini. - Astro AWANI
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatatkan detik bersejarah apabila bakal menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air yang melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan bekalan air secara holistik kepada pengguna-pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman berkata, Air Selangor telah berjaya memuktamadkan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi termasuk PNSB Water Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).
Ditanya tentang harapan beliau, beliau menyatakan "Saya seorang pengguna, jadi saya perlu melihatnya dari sudut pandangan pelanggan. Apakah harapan pelanggan?
"Sebagai pelanggan, kami mahu bekalan air yang tidak terganggu dan bekalan air bersih. Jadi perkara asas adalah dari pelanggan kami.
"Itu harapan saya terhadap mana-mana operator perkhidmatan bekalan air," kata Suhaimi pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Air Selangor sebagai Pemegang Lesen Tunggal Perkhidmatan Bekalan Air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Kemudian kami melihat infrastruktur dan sumber kami. Bolehkah infrastruktur kami menyampaikan kehendak pelanggan? Kami akan melaksanakan inisiatif tersebut untuk merapatkan jurang antara kehendak pelanggan dan apa yang dapat disediakan oleh infrastruktur kami.
"Ia akan memakan sedikit masa tetapi kami akan mempercepatkan inisiatif tersebut dan menjadikannya sebagai keutamaan," tambahnya.
Pada masa yang sama, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Air Selangor telah membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion sepanjang tempoh 2016 hingga 2018 bagi menaiktaraf dan membaikpulih pelbagai aset dan bekalan air.
Antaranya membaikpulih loji-loji rawatan air, kolam air, rumah pam dan kerja-kerja penggantian paip serta program pengurangan air tidak berhasil (NRW).
"Apabila usaha ini berterusan, sistem kawalan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
"Ia termasuk 'smart solution' dengan membuat pemantauan 'real time' di beberapa lokasi paip-paip air.
"Dengan itu, kami dapat membuat satu pengawasan dan pengurusan yang lebih cekap pada masa hadapan.
Melangkah ke hadapan, Air Selangor telah merangka dan merancang pelaksanaan kerja-kerja kapital secara berterusan melalui pelan perniagaan 30 tahun dengan perbelanjaan sebanyak RM30 bilion.
Air Selangor adalah syarikat milik sepenuhnya Kerajaan Negeri Selangor ditubuhkan pada 26 Feb 2014 di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965 untuk menyediakan perkhidmatan air secara holistik di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pada 15 Oktober 2015, Air Selangor berjaya mengambil alih PNSB Water dan SYABAS dengan kos pengambilalihan berjumlah RM1.555 bilion.
Proses penstrukturan ini diteruskan dengan pengambilalihan ABASS pada 31 Dis 2015 melibatkan kos pengambilalihan RM86 juta diikuti KASB pada 11 Mac 2016 (RM6.4 juta).
Dengan muktamadnya pengambilalihan SPLASH dengan kos sebanyak RM2.55 bilion pada 24 April 2019 lalu maka sempurnalah pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air di Selangor dan Air Selangor menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air bermula 13 September 2019.
#ABASS #Air Selangor #Amirudin Shari #KASB #Menteri Besar Selangor #Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd #PNSB Water #SPLASH #Suhaimi Kamaralzaman #SYABAS
;