Air Selangor: Kolam ternakan ikan keli punca pencemaran - Exco

Fareez Azman
Disember 8, 2020 15:28 MYT
Kolam ternakan ikan keli dipercayai menjadi punca pencemaran air di Sungai Selangor sehingga Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP 1, 2 dan 3 dihenti tugas pada pagi Selasa.
HULU SELANGOR: Kolam ternakan ikan keli di sini dipercayai menjadi punca pencemaran air di Sungai Selangor sehingga Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP 1, 2 dan 3 dihenti tugas pada pagi Selasa.
Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Pengerusi Bersama Hal Ehwal Selain Hal islam (HESI), Hee Loy Sian, penemuan itu diperoleh hasil pemantauan pihak berkuasa di lokasi pencemaran awal pagi tadi.
"Punca kita dapati daripada kolam ternakan ikan keli yang saya telah lawat tadi. Kita dapati satu kolam, mereka tengah keringkan dan ambil (masa) tujuh hari untuk melepaskan air itu, semalam baru dilepaskan semua (air ke dalam sungai).
"Air itu dilepaskan ke Sungai Selangor lebih kurang 100 meter, pengusaha ini (didapati) tanah itu hak milik syarikat Sungai Pinang Kasturi, pajakan 99 tahun, kegunaan tanah untuk ternakan air," katanya.
BACA: Air Selangor: Sistem agihan bekalan air tidak stabil, punca tangki air alami penyusutan mendadak
Malah siasatan awal juga, kata beliau, mendapati, premis terbabit menjalankan ternakan ikan keli tanpa lesen yang sah.
Tambah Loy Sian, premis berkenaan dianggarkan berkeluasan 45 hektar dengan 57 kolam ikan pada jarak 8.7 km dari LRA Rantau Panjang.
"Malangnya mereka tidak ada kelulusan bangunan Kebenaran Merancang (KM) dan tiada lesen Majlis Daerah Hulu Selangor (MHDS) itu menjadi masalah.
"Kita telah buat laporan polis pukul 3 pagi dan kita harap polis lakukan siasatan dan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) telah menyiasat dan kita akan hadap pemilik ke mahkamah," katanya lagi.
Dalam pada itu, pihak LUAS, jelas beliau, telah mengambil enam sampel dari air di kolam berkenaan dan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan.
#Air Selangor #kolam ternakan #ikan keli #punca pencemaran #Sungai Selangor #loji rawatan air #Rantau Panjang
;