Air pasang: Tiada risiko banjir setakat ini - MetMalaysia
Hasimi Muhamad
September 12, 2022 16:35 MYT
September 12, 2022 16:35 MYT
KUALA LUMPUR: Fenomena air pasang besar yang memasuki hari ketiga di Klang dan Kuala Selangor setakat ini tidak memberi risiko kepada kejadian banjir di kawasan terbabit.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan unjuran radar cuaca, tiada hujan yang signifikan diramal berlaku di Klang dan Kuala Selangor, sebaliknya hujan buat masa ini hanya bersifat sementara.
Jelas beliau lagi, MetMalaysia juga meramalkan keadaan cuaca adalah sama untuk tempoh malam ini dan esok (Selasa), selain ia tidak mengundang kepada risiko fenomena air pasang besar yang lebih buruk.
"Kalau kita tengok dari segi hujan memang tak berapa banyak, dalam sehari dua ini. Jadi dari segi risiko banjir lebih besar daripada yang sepatutnya, kita tak nampak akan berlaku cuma isu air pasang besar bukan perkara baharu di Kuala Selangor dan Klang, sebab ianya setiap bulan ada.
"Cuma kali ini ia besar sikit daripada kebiasaan dan kita juga bernasib baik kerana tiada hujan. Fenomena air pasang besar ini disebabkan oleh bulan penuh dan bukannya kedudukan bulan yang hampir dengan bumi. Kalau jumpa sekali (bulan dan bumi), mungkin keadaan dan situasi air pasang yang lebih besar boleh berlaku," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Astro AWANI semalam melaporkan paras air laut diramal mencecah 5.5 meter hari ini di kawasan sepanjang pesisir pantai sekitar Klang dan Kuala Selangor, antaranya di Stesen Pelabuhan Klang sekitar pukul 7.18 pagi susulan fenomena air pasang besar.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi memaklumkan keadaan di kawasan terbabit masih terkawal setakat ini.
Kemuncak air pasang besar pada hari ini dijangka pada pukul 7.28 petang, dengan ketinggian paras air laut sekitar 5.1 meter.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata dalam keadaan bulan penuh, kebiasaan paras air laut berada sekitar empat atau lima meter.
Situasi tersebut, ujarnya disifatkan sebagai bukan sesuatu yang membimbangkan.
Mengenai Monsun Timur Laut pula, beliau berkata berdasarkan model-model ramalan antarabangsa, MetMalaysia turut mendapati tiada ramalan hujan yang luar biasa berlaku dalam tempoh musim tersebut.
"Maklumat ini sentiasa dikemas kini dan pada waktu ini ramalan yang ditunjukkan tidak menunjukkan sebarang hujan yang luar biasa berlaku pada Monsun Timur Laut kali ini.
"Dalam situasi yang tidak ada yang luar biasa, situasi banjir memang boleh berlaku disebabkan Monsun Timur Laut dan hujan memang sentiasa banyak pada Monsun Timur Laut, cuma kita tidak jangka ada hujan terlebih ekstrem berbanding kelaziman," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Hisham menambah unjuran taburan hujan lebat kebiasaan dilakukan sebelum tiga hari kejadian melanda kawasan-kawasan di Semanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.