Air pasang: Paras air laut dijangka 5.5 meter esok
Hasimi Muhamad
September 11, 2022 18:34 MYT
September 11, 2022 18:34 MYT
KUALA SELANGOR: Paras air laut diramal mencecah 5.5 meter esok (Isnin) di kawasan sepanjang pesisir pantai sekitar Klang dan Kuala Selangor.
Paras air laut tertinggi itu, antaranya dijangka di Stesen Pelabuhan Klang sekitar pukul 7.18 pagi susulan fenomena air pasang besar.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, setakat hari ini kawasan sekitar Klang dan Kuala Selangor masih terkawal.
“Paras air laut hari ini di beberapa lokasi di Klang adalah 5.4 meter, yang lain sekitar tiga meter sahaja.
“Paling tinggi (5.4 meter) hanya di Kuala Selangor dan Klang sebab ia berdekatan.
“Semua dalam keadaan terkawal kerana tidak berlaku hujan. Kalau berlaku hujan kemungkinan besar akan ada pemindahan mangsa banjir sebab aliran air hujan tak dapat keluar ke laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Hafisham berkata sebanyak 10 Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Klang dan Selangor telah digerakkan untuk menjalankan pemantauan sepanjang fenomena air pasang besar.
Jelasnya, ia melibatkan kira-kira 100 anggota, yang bersiap siaga bagi pemindahan mangsa jika berlaku bencana banjir.
“Penduduk sebenarnya mereka pun telah dimaklumkan lebih awal juga, dan kita telah sarankan untuk berpindah sekiranya berlaku hujan lebat ketika air pasang besar.
“Diingatkan juga, hanya peralatan yang penting sahaja dibawa jika berlaku banjir nanti,” tambah beliau.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Kuala Selangor, Ismail Zakariya ketika dihubungi berkata, jangkaan kemuncak air pasang besar hari ini adalah pada pukul 6.54 petang dengan anggaran pada paras 5.1 meter.
Semalam, Kerajaan Selangor meminta semua penduduk yang tinggal di sekitar daerah Klang, Kuala Selangor dan kawasan berhampiran supaya sentiasa peka terhadap risiko banjir berikutan amaran fenomena air pasang besar yang bermula hari ini sehingga Rabu.
Fenomena tersebut juga dijangka berlaku antara 27 dan 29 September ini apabila paras air laut pasang berpotensi meningkat sehingga 5.4 meter.