Air Pasang Merah: Kerajaan Sabah larang sementara semua aktiviti libatkan kerang-kerangan
Abdul Hafiz Mustadi
Februari 19, 2023 18:35 MYT
Februari 19, 2023 18:35 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil langkah termasuk melarang sementara aktiviti penuaian, penjualan dan memakan kerang-kerangan dari kawasan yang terkesan dengan air pasang merah.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berenang di sekitar perairan Kota Kinabalu dan Tuaran sehingga diberitahu kelak.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, fenomena air pasang merah ini adalah kejadian semula jadi yang boleh diburukkan dengan faktor-faktor seperti perubahan iklim dan aktiviti manusia seperti pencemaran dan penangkapan ikan secara berlebihan.
"Adalah penting untuk orang ramai menyedari risiko air pasang merah dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan alam sekitar mereka.
"Jabatan Perikanan Sabah akan terus memantau keadaan dengan teliti dan akan mengambil tindakan selanjutnya jika perlu bagi memastikan keselamatan dan kelestarian sumber makanan laut kita," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menggesa nelayan dan peniaga makanan laut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan produk mereka selamat untuk dimakan.
"Kita semua mesti memainkan peranan untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat kita, dan melindungi integriti rantaian bekalan makanan kita," katanya.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, fenomena yang disebabkan oleh pertambahan populasi alga jenis Margalefidinium Polykrikoides (Cochlodium) dan Pyrodinium Bahamense yang dikesan di kawasan perairan Kota Kinabalu dan Tuaran tiga hari lalu mampu menghasilkan toksin berbahaya yang memudaratkan kehidupan marin serta manusia.
"Kehadiran alga Margalefidinium Polykrikoides (Cochlodium) dan Pyrodinium Bahamense telah dikenal pasti melalui sampel air yang diambil di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan lain pada 16 Februari 2023.
“Air pasang merah sering berlaku di perairan Pantai Barat Sabah terutamanya dari Sipitang, Kuala Penyu ke Tuaran atau Kota Belud. Bagaimanapun, kejadian itu jarang berlaku di perairan Pantai Timur Sabah jarang berlaku dan tidak dilaporkan sejak lebih 20 tahun", ujar Jeffrey dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Dalam pada itu, Jeffrey turut menjelaskan kehadiran alga Margalefidinium Polykrikoides berupaya membunuh hidupan laut terutama ikan dalam sangkar.
Sementara alga Pyrodinium Bahamense yang sering didapati pada beberapa jenis kerangan berupaya mendatangkan keradangan pada mulut, pening, dan muntah hingga mampu menyebabkan kematian akibat gangguan sistem pernafasan.