Air pasang di Kuala Sepetang tidak membimbangkan
Bernama
November 17, 2016 12:48 MYT
November 17, 2016 12:48 MYT
Keadaan air pasang besar di Kuala Sepetang di sini hari ini tidak berada di tahap membimbangkan.
Penguasa Bomba Kanan Dua Taiping Rohami Basirun berkata berdasarkan rondaan dan pemantauan yang dilakukan pihaknya sejak 6 pagi ini, paras air hanya menaiki jalan kira-kira empat inci.
"Keadaan dilihat masih terkawal walaupun air sedikit naik... Mungkin disebabkan tiada hujan dari awal pagi keadaan lebih elok jika dibandingkan semalam sehingga ada pelajar terpaksa menaiki kenderaan bomba untuk ke sekolah," katanya kepada pemberita di sini.
Ibu bapa yang menghantar anak masing-masing ke Sekolah Kebangsaan Laksamana di sini turut berasa lega dan syukur kerana dapat menghantar anak mereka seperti biasa.
"Semalam air naik agak tinggi sehingga ada satu kawasan di pekan ini ditenggelami air menyebabkan kami terputus hubungan dan anak saya tidak dapat ke sekolah," kata Zainal Ismail, 48, bapa kepada murid Tahun Tiga di sekolah berkenaan.
Seorang murid Tahun Enam di sekolah itu, Mohd Khairil Affendi Azhar melahirkan kelegaan yang sama kerana dapat mengambil keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini.
"Rasa seronok sebab dapat pergi sekolah ambil keputusan UPSR, pagi tadi risau juga kalau air naik tinggi macam semalam tapi tengok pagi ini air tak naik tinggi syukur sangat," katanya. -- Bernama