Air pasang besar: Tujuh keluarga dipindahkan di Banting

Sinar Harian
Januari 3, 2022 10:34 MYT
Anggota bomba membantu memindahkan sebuah keluarga di Kampung Kelanang, Banting, awal pagi ini. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Tujuh keluarga dari dua kampung di Banting dipindahkan susulan hujan berterusan serta fenomena air pasang besar sehingga awal pagi Isnin.
Terbaharu, sebuah keluarga dari Kampung Kelanang dipindahkan ke Dewan Kampung Kelanang selepas rumah didiami mereka dinaiki air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 pagi.
Menurutnya, sekumpulan anggota bertugas bergegas ke tempat kejadian bagi memindahkan keluarga terbabit ke Dewan Kampung Kelanang.
"Setakat jam 3 pagi tadi terdapat tujuh keluarga terbabit dalam pemindahan membabitkan 21 mangsa termasuk warga emas dan kanak-kanak.
"Sebuah keluarga berpindah ke Dewan Kampung Kelanang pagi ini manakala enam lagi keluarga di Kampung Sungai Nangka sudah dipindahkan ke Dewan Sri Langat pada jam 7.30 malam pada Ahad malam," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kawasan rendah di dua kampung berkenaan dinaiki air dipercayai berpunca daripada hujan yang berterusan serta fenomena air pasang besar yang melanda.
"Bagaimanapun paras air pada pagi ini (jam 9 pagi) dilihat menunjukkan trend menurun namun kita akan terus melakukan pemantauan di kawasan terlibat," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#fenomena air pasang #Norazam Khamis #keluarga dipindahkan susulan hujan berterusan #Kampung Kelanang
;