Air pasang besar: Rumah penduduk dinaiki air sehingga paras pinggang

Abd Hadi Che Awang
November 6, 2021 11:09 MYT
Pihak APM sentiasa bersedia khususnya bagi operasi memindahkan mangsa ke beberapa PPS terdekat sekiranya situasi semakin memburuk. - Astro AWANI
KUALA KEDAH: Fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa kawasan di negeri Kedah terutama sekitar Kuala Kedah awal pagi tadi telah menyebabkan air masuk ke rumah penduduk yang berada di kawasan rendah berhampiran persisir pantai termasuk sehingga mencecah paras pinggang.
Menurut Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob, fenomena berkenaan juga telah menyebabkan Pangkalan Nelayan Kg Seberang Kota ditenggelami air selain beberapa kawasan sekitar Pekan Kuala Kedah dinaiki air setinggi 0.5 meter sehingga 0.7 meter.
Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan dan pemantauan pihak APM yang dilakukan di kawasan terlibat mendapati keadaan masih lagi stabil dan terkawal.
Tambah beliau, pihak APM juga sentiasa bersedia khususnya bagi operasi memindahkan mangsa ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat sekiranya situasi semakin memburuk.
"Sekiranya berada di kawasan yang lebih rendah, (memang) akan terkesan, terutama di kawasan pantai nelayan (di Kg Seberang Kota) telah tenggelam, dan juga di persimpangan untuk ke jeti Kuala Kedah pun air mulai naik, ada sesetengah rumah (juga telah) dinaiki air.
"Untuk maklumat semua PPS (juga) telah dibuka (bagi mangsa banjir) tetapi untuk situasi air pasang besar (yang berlaku sejak dua hari lepas), tidak ada lagi proses pemindahan (dilakukan)," katanya.
Sementara itu, bagi penduduk yang ditemui di Kg Seberang Kota menyifatkan kejadian banjir yang berlaku akibat fenomena air pasang besar adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan terbabit.
BACA: Paras ombak cecah 3.1 meter, seluruh Kuala Kedah digenangi air
Mereka juga menyatakan berasa trauma dan letih setiap kali berlaku kejadian sebegini khususnya dalam proses membersihkan rumah yang dianggap sebagai rutin bulanan mereka.
"Selalu sampai ke situ air naik, cuma kawasan dapur dengan depan itu tak sampai. Cuma semalam sini naik sikit lepas itu dalam pukul 1.30 pagi, surut dah," kata seorang mangsa Muhammad Rizuwan Abdullah.
Bagi suri rumah, Asiah Din, dia terpaksa berjaga sepanjang malam bagi mengeluarkan air banjir dari dalam rumahnya.
"Risau jugak sikit-sikit, malam ini tak tidur la, nak buat macam mana, nak tidur di mana? Bagi habis dulu lah baru cuci, kalau cuci pun dia naik lagi, lepas habis esok cuci, itu pun banyak malam ini kain-kain nak kena basuh, kalau tiada mesin lagi teruk," katanya.
Terdahulu, gelombang air pasang besar di Kuala Kedah yang berlaku awal pagi tadi telah mengakibatkan terminal feri, premis perniagaan, rumah penduduk serta jalan raya digenangi air setinggi 0.5 hingga 0.7 meter.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan bersama pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati, paras air mulai naik pada jam 1.15 pagi dan berlarutan selama satu jam sebelum surut.
#banjir #air pasang besar #Kuala Kedah #APM
;