Air pasang besar punca banjir di Negeri Sembilan - MB

Sinar Harian
Ogos 25, 2024 16:45 MYT
Suasana di sebuah PPS di Port Dickson. - Foto Sinar Harian
TAMPIN: Kejadian banjir yang berlaku di seluruh Negeri Sembilan sejak Selasa lalu disebabkan fenomena air pasang besar terutamanya di kawasan Port Dickson.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hujan berterusan selama empat jam pada Sabtu juga mencetus kejadian banjir sehingga menjejaskan kediaman penduduk.
"Bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan telah diminta melihat masalah ini (banjir) supaya ia tidak berulang," katanya.
Terdahulu Aminuddin hadir pada Majlis Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Kali yang ke 13 bagi Institut Tahfiz Al Quran Negeri Sembilan pada Ahad.
Pada Sabtu, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Port Dickson membabitkan Dewan Bagan Pinang, Balai Raya Permatang Pasir,Balai Raya,Balai Raya Tanjung Agas dan Balai Raya Kampung Sungai Raya.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohd Azri Abu Hassan sebanyak 37 buah rumah terjejas membabitkan 111 mangsa ditempatkan di empat PPS tersebut.
"Paling tinggi paras air pasang yang direkodkan di sini adalah pada hari Jumaat lalu dengan ketinggian 3.2 meter," katanya ketika dihubungi pada Ahad. -- Sinar Harian
#banjir negeri sembilan #fenomena air pasang besar #Aminuddin Harun #Port Dickson
;