Air pasang besar: Peniaga pasar nelayan di Kuala Kedah tanggung kerugian

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 22, 2024 19:26 MYT
Fenomena air pasang besar menyebabkan peniaga di Pasar Nelayan Kampung Seberang Kota di sini, mengalami kerugian. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA KEDAH: Fenomena air pasang besar di Kedah mengakibatkan peniaga ikan serta kedai makan di Pasar Nelayan Kampung Seberang Kota di sini terpaksa menangung kerugian apabila barangan dihanyutkan air selain terpaksa menghentikan operasi lebih awal.
Peniaga kedai makan, Azmi Sudin, 72, berkata kejadian air pasang besar yang berlaku sejak Selasa lalu adalah yang terburuk dihadapinya.
Katanya, biasanya kedai makannya yang terletak berhampiran pelantar ikan itu menjadi tumpuan orang ramai untuk singgah tetapi hari ini, jumlah pelanggan amat berkurangan.
“Kali ini yang paling teruk, sebelum ini (air) tidak sampai tempat saya letak meja, tetapi air pasang besar yang berlaku dua hari ini naik tinggi.
“Sebelum air naik pelanggan memang ramai, tetapi apabila air naik tinggi, jadi tidak ada pelanggan dan saya terpaksa tutup kedai awal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Peniaga ikan Mahsur Abdullah, 57, pula berkata, sepanjang tempoh air pasang besar bermula Selasa lalu, dia hanya berniaga empat jam sehari disebabkan kekurangan pelanggan.
Katanya, orang ramai tidak dapat datang ke pelantar ikan untuk membeli ikan seperti biasa berikutan air laut naik dengan cepat sekitar jam 11 pagi.
Malah katanya, suaminya yang juga nelayan hampir seminggu tidak dapat ke laut untuk menangkap ikan disebabkan angin kuat, ribut dan ombak besar.
“Tak sempat selamatkan banyak barangan sebab air pasang besar datang sekali angin ribut dan saya tidak sangka air naik dengan cepat.
“Barang-barang semua duduk atas meja, tapi ada tong-tong ikan yang hanyut... ada yang sempat selamat,” katanya yang lebih 20 tahun berniaga di sini.
Bagaimanapun, lain pula bagi pengunjung yang pertama kali merasai pengalaman makan di restoran yang dinaiki air, yang menyifatkannya sebagai menyeronokkan.
Bagi Farok Ismail, dia tidak menyangka air akan naik dengan cepat kerana ketika sampai, keadaan kedai masih kering.
“Sampai-sampai sahaja air dah pasang tapi makan jugalah. Kaki terendam sejuk sampai kecut kaki,” ujarnya.
Sementara itu, Abd Haris Abd Samad, 63, berkata dia dan isterinya, Nora Nordin, 62, sedang menikmati makan tengah hari apabila diminta berpindah ke tempat tidak dinaiki air.
"Saya bagaimanapun menolak kerana ingin merasai pengalaman makan di dalam air.
“Pengalaman makan dalam air ni seronoklah. Sampai-sampai tengok air naik tapi saya redah sahaja memang teruja dan seronok,” katanya.
Sebelum ini, Pusat Hidrografi Nasional mengeluarkan ramalan fenomena air pasang besar akan berlaku selama empat hari bermula Selasa lalu yang menyebabkan paras ombak tinggi mencecah tiga meter.
#air pasang besar #kampung seberang kota #pasar nelayan #Kedah