Air pasang besar: Penduduk resah ancaman hakisan
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Disember 5, 2021 06:57 MYT
Disember 5, 2021 06:57 MYT
BESUT: Fenomena air pasang besar yang bermula Jumaat lepas meresahkan penduduk di pantai Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut.
Menurut penduduk, akibat fenomena tersebut saban tahun, mereka terpaksa berdepan ancaman hakisan yang membahayakan keselamatan keluarga dan memusnahkan harta benda.
Menurut salah seorang penduduk, akibat ancaman tersebut benteng guni pasir dan batu yang dibina sejak Mei lepas mula terhakis dan sebahagian terpaksa dibaik pulih kembali.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, masalah hakisan itu dikatakan berpunca daripada projek 'breakwater' yang bermula sejak 2015 dan dihentikan pada tahun lepas.
Jelasnya lagi masalah hakisan pantai di kawasan terlibat dapat diatasi sekiranya projek yang kini 64 peratus itu dapat disiapkan sepenuhnya.
"Saya harap supaya pihak kerajaan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui JPS supaya dapat mempercepatkan pembinaan dan sambung semula projek benteng pemecah ombak ini ataupun pemuliharaan muara Sungai Besut ini dengan kadar yang segera.
"Ini supaya isu hakisan pantai di Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pacakan, Kampung Teluk Bayu dan juga kampung-kampung sekitar ini dapat dielakkan Secepat mungki," katanya.
Sebelum ini sebanyak 37 lokasi di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat dijangka berakhir pada 13 Disember depan.