Air pasang besar: Penduduk kampung atas air Sandakan ambil langkah berjaga-jaga

Radhi Muslim
Disember 6, 2021 08:54 MYT
Penduduk kampung akan memastikan di perairan kawasan rumah itu tidak terdapat kayu atau balak yang hanyut demi mengelakkan ia menghempap kediaman mereka ketika fenomena air pasang berlaku. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Fenomena air laut pasang besar melanda perkampungan-perkampungan atas air di sini, yang dilaporkan bermula sejak Sabtu.
Antaranya di Kampung Sim-Sim, yang terletak berdekatan pusat bandar, yang menyaksikan kejadian air pasang kebiasaannya bermula jam 10 malam.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Ahmad Sabar berkata, pada hari pertama kejadian tahap ketinggian air pasang agak rendah tetapi pada hari kedua, ia semakin tinggi.
"Biasanya pukul 10 air mula naik dan dalam pukul 10.30, ia sudah tinggi. Pukul 12 lebih baru ia mula surut.
"Kami bersama jiran-jiran akan keluar untuk tengok, pasang semua lampu dan berjaga sehingga air surut.
"Kalau sudah tiada ombak, barulah kami semua masuk tidur, mungkin dalam pukul 1 lebih begitu," katanya ketika ditemui di kampung itu semalam.
Menurutnya, setakat ini rumah mereka yang terletak di Jambatan Sembilan, masih tidak dimasuki air dan pihaknya bersyukur dengan keadaan berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk di Jambatan 23 kampung sama berkata, dia dan penduduk kampung yang lain turut berjaga sehingga lewat pagi ketika kejadian air pasang.
Mereka akan memastikan di perairan kawasan rumah itu tidak terdapat kayu atau balak yang hanyut demi mengelakkan ia menghempap kediaman mereka ketika fenomena berlaku.
"Selain itu, surat beranak dan segala dokumen penting lain, kita selamatkan dulu. Setakat ini, kami sudah biasa begini. Setiap hujung tahun mesti akan terjadi," kata Fauzi Ebel, seorang peniaga.
Bagaimanapun, mereka tetap sentiasa melakukan persediaan termasuk menyimpan dokumen dan keperluan penting sebagai langkah berjaga-jaga jika terjadi sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjong Papat, Saiful Bahari Muin berkata, setakat ini terdapat beberapa kerosakan jambatan dan paip air dilaporkan berlaku di Kampung Sim-Sim.
Namun, pihaknya bersyukur belum ada rumah penduduk dilaporkan terjejas.
"Setakat ini memang sudah ada kerosakan yang berlaku, jambatan terutamanya, dan paip-paip utama, banyak yang sudah rosak," tambahnya.
Katanya, sebagai langkah menghadapi fenomena berkenaan, pihaknya bersama Jawatankuasa Kampung mengadakan rondaan pada setiap malam.
Maklumat dan tahap ketinggian air laut juga turut dimaklumkan kepada penduduk terbabit supaya mereka lebih bersedia.
Pihaknya juga menyediakan tempat pemindahan sementara untuk penduduk terjejas sekiranya berlaku kecemasan.
#Sandakan #air pasang besar #ombak laut #perumahan atas air
;