Air pasang besar: Orang ramai dinasihat elak pantai Morib, sekitar Kuala Langat

Bernama
September 26, 2022 23:38 MYT
Fenomena air pasang besar dijangka melanda kawasan pantai di sekitar Kuala Langat selama tiga hari bermula esok. - Gambar fail/ Shahir Omar
SHAH ALAM: Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak berada di kawasan pantai sekitar daerah Kuala Langat berikutan fenomena air pasang besar dijangka melanda kawasan itu selama tiga hari bermula esok.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), menerusi hantarannya di Facebook hari ini, memaklumkan kawasan Pantai Morib, Pantai Morib Baru, Pantai Kelanang, Pantai Batu Laut, Pantai Cunang dan Jeti Tanjung Sepat akan ditutup kepada orang awam sehingga Khamis ini.
"Sebarang aktiviti seperti mandi, berkhemah, berkelah, memancing, menaiki bot serta berniaga tidak akan dibenarkan di kawasan berkenaan," menurut hantaran itu.
Orang ramai boleh menghubungi Skuad Pantas MPKL menerusi talian 012-3004256 untuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan berhubung fenomena tersebut.
-- BERNAMA
#air pasang besar #Kuala Langat #Pantai Morib #Amaran Cuaca
;