Air pasang besar: MBSA minta orang ramai lebih berhati-hati, siap sedia
Sinar Harian
Oktober 17, 2024 08:10 MYT
Oktober 17, 2024 08:10 MYT
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan satu notis pemberitahuan mengenai air pasang besar dijangka berlaku bermula pada Khamis sehingga Ahad ini.
Susulan itu, MBSA menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir.
Masyarakat turut diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk segera berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS).
“Berikutan air pasang besar yang dijangka berlaku pada 17 hingga 20 Oktober ini, penduduk dan pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah persediaan menghadapi banjir,” ujar MBSA dalam kenyataan itu.
Dijangka paras air di Stesen Pelabuhan Klang akan melebihi para 5.5 meter hingga 5.8 meter dalam tempoh empat hari tersebut.
Sebagai langkah berwaspada, penduduk dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan memantau kenaikan air di kawasan kediaman masing-masing.
"Sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan memerlukan bantuan segera akibat banjir di Shah Alam, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Pantas di talian 03-5510 5811," tambahnya.
Terdahulu, menurut sumber ramalan cuaca dikeluarkan oleh AccuWeather, cuaca pada pagi ketika 17 hingga 20 Oktober itu dijangka akan mengalami hujan lebat dan ribut petir manakala pada waktu malam pula akan hujan di beberapa tempat. - Sinar Harian