Air pasang besar Kuala Selangor melebihi paras ramalan, namun terkawal - JBPM
Fauzi Suhaimi
November 15, 2020 13:51 MYT
November 15, 2020 13:51 MYT
KUALA SELANGOR: Fenomena air pasang besar yang melanda di pesisir pantai Negeri Selangor dilaporkan naik melebihi daripada paras yang dijangka dengan bacaan 5.6 meter.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Ismail Zakariya berkata, situasi fenomena itu masih berada dalam keadaan terkawal dan tiada kejadian banjir dilaporkan setakat jam 1 tengah hari tadi.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya meletakkan kesiapsiagaan pada tahap tinggi bagi berdepan situasi fenomena air pasang besar yang diramal pada Isnin.
Menurutnya, langkah itu untuk memastikan segala kemungkinan berlaku dapat diatasi dengan baik termasuk kajadian banjir di kawasan kritikal.
"Untuk makluman, kami diberi arahan untuk melakukan operasi pada pukul 5.30 pagi membabitkan 22 anggota, dari jumlah itu 11 anggota ditugaskan ke lokasi yang disenaraikan sebagai kritikal manakala 11 lagi anggota berada dalam keadaan bersedia.
"Dalam daerah ini, sebanyak dua kawasan diklasifikasikan sebagai kritikal dan mudah digenangi air jika berlaku air pasang iaitu di Kampung Sungai Janggut dan Pekan Kuala Selangor.
"Bagaimanapun berdasarkan keadaan semasa, situasi fenomena ini masih berada dalam keadaan terkawal meskipun air pasang yang berlaku pada awal pagi tadi melebih paras yang dijangka iaitu pada ketinggian 5.6 meter," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Ismail menasihatkan kepada orang ramai untuk terus membuat persediaan awal memandangkan fenomena ini berlaku pada awal pagi.
"Fenomena ini kebiasaannya berlaku pada awal pagi ketika orang sedang tidur, jadi kita minta agar mereka membuat persediaan awal termasuk memindahkan barang di tempat yang lebih selamat," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Rahimy Rahim, 31 tahun, memberitahu, fenomena yang berlaku hari ini agak terkawal jika dibandingkan dengan situasi air pasang besar pada Oktober.
"Pagi ini agak terkawal meskipun air dikatakan naik melebih pada paras yang diramal.
"Persediaan awal juga telah dibuat termasuk memindahkan barang-barang mudah rosak ke tempat yang lebih tinggi jika berlaku kejadian diluar jangka," katanya.
Fenomena air pasang besar membabitkan lima wilayah di Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Daripada lima wilayah itu, sebanyak 51 kawasan di negeri Selangor diletakan dalam kawasan berisiko tinggi berlaku kejadian banjir akibat air laut pasang besar berkenaan.
#fenomena air pasang besar
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#Kampung Sungai Janggut
#Pekan Kuala Selangor
#Kuala Langat
#met malaysia
#cuaca
#fenomena cuaca