Air pasang besar: Kampung Besar dilanda banjir kilat

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 17, 2024 08:20 MYT
Kejadian banjir adalah disebabkan air pasang besar di sungai utama iaitu Sungai Kerian yang berhampiran kawasan penduduk berkenaan. - Foto APM Bandar Baharu
BANDAR BAHARU: Seramai 100 mangsa daripada 25 keluarga di Kampung Besar, Mukim Bagan Samak di sini terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan air pasang besar yang melanda, awal pagi Khamis.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan banjir melalui orang awam berikutan kejadian fenomena air pasang besar yang berlaku pada jam 4.35 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari APM Bandar Baharu kemudian melakukan pemantauan awal banjir di kampung berkenaan dan mendapati 25 rumah kediaman di situ dimasuki air.
"Faktor kejadian banjir adalah disebabkan air pasang besar di sungai utama iaitu Sungai Kerian yang berhampiran kawasan penduduk berkenaan.
"Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kawasan itu berikutan trend air semakin menurun," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Abdul Rahim berkata, pemantauan akan dilakukan dari masa ke semasa.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko rendah supaya sentiasa berwaspada sekiranya air pasang berlaku dan berpindah jika diarahkan berbuat demikian.
#air pasang besar #banjir #sungai kerian #terkini
;