Air pasang besar: Jumlah mangsa di Sandakan meningkat kepada 558

Radhi Muslim
Disember 26, 2022 08:30 MYT
Lebih 100 rumah atas air roboh manakala sekurang-kurangnya 500 rumah terancam akibat hujan berterusan dan fenomena air pasang pada tengah malam menjelang Krismas di Kampung Forest, Sandakan, 25 Dis 2022. --fotoBERNAMA
SANDAKAN: Jumlah mangsa tragedi susulan fenomena air pasang besar di Kampung Forest di sini, meningkat daripada kira-kira 370 orang kepada 558 orang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan lewat malam tadi memaklumkan, angka itu membabitkan 96 ketua isi rumah.
Daripada jumlah itu, seramai 103 adalah lelaki dewasa, 133 wanita, 175 kanak-kanak lelaki termasuk bayi dan 147 kanak-kanak perempuan.
Data terakhir yang direkodkan kira-kira jam 11.59 malam tadi menunjukkan, jumlah mangsa kejadian rumah roboh akibat air pasang dijangka meningkat dari semasa ke semasa.
Namun, setakat ini hanya sebuah pusat pemindahan sementara yang dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Sabtu, 100 buah rumah di Kampung Forest roboh akibat dibadai ombak ketika fenomena air laut pasang besar melanda.
Bagaimanapun, tragedi itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
Fenomena itu dijangka berakhir pada awal pagi esok.
#pusat pemindahan #rumah roboh #air pasang besar #rumah dipukul ombak
;