Air pasang besar: Jangan dekati kawasan pantai malam ini

Astro Awani
November 5, 2021 08:17 MYT
Orang ramai beriadah sempena cuti hujung minggu meskipun dalam keadaan hujan ketika tinjauan di Pantai Pulau Kekabu hari ini. - Foto BERNAMA
BESUT: Penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai dan pantai diingatkan agar lebih berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata berkata air pasang besar serta disusuli hujan dikhuatiri boleh mengakibatkan limpahan air di kawasan daratan.
Katanya, fenomena air pasang besar mencecah lebih satu meter dijangka bermula jam 9 malam ini.
Antaranya kawasan yang berisiko termasuk di Kampung Losong, Kampung Pulau Rusa dan beberapa kawasan berhampiran pantai.
Jelasnya lagi, setakat ini angin kuat juga masih melanda beberapa pantai peranginan di negeri itu seperti di Pantai Batu Buruk dan Pantai Seberang Takir.
Beliau berkata bagaimanapun tiada limpahan air mahupun penduduk yang terjejas dilaporkan setakat ini.
Mohd Rosman berkata pihaknya sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang berlaku sepanjang peralihan Monsun Timur Laut ini.
Menurutnya lagi pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko turut di lakukan secara berkala khususnya di pesisir pantai.
Justeru itu beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa kerana khuatir kadar hujan serta fenomena air pasang menyebabkan kenaikan paras air.
#air pasang besar #banjir #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #hujan #terengganu