Air pasang besar: 30 rumah, 15 kedai di Kuala Kedah dinaiki air
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 26, 2022 10:12 MYT
Oktober 26, 2022 10:12 MYT
ALOR SETAR: Sebanyak 30 rumah dan 15 kedai digenangi air dalam fenomena air pasang besar yang melanda Kuala Kedah, awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, bacaan paras air laut mencatatkan bacaan 2.98 meter melepasi ramalan iaitu 2.93 meter.
“Kejadian itu menyebabkan beberapa kawasan termasuk kediaman penduduk di sekitar Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina, Jalan Tok Pasai dan Kampung Tepi Laut dinaiki air bermula jam 12.57 dan kembali surut jam 2.28 pagi.
“Air pasang turut memasuki 30 rumah di Taman Seri Putra serta 15 kedai di Kuala Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, anggota APM melakukan tinjauan dan tiada mangsa dipindahkan berikutan air surut dengan cepat dan anggota membantu mangsa mencuci rumah.
Ini merupakan kejadian ketiga fenomena air pasang berlaku di Kuala Kedah dalam tempoh dua bulan September dan Oktober.
Bagaimanapun rata-rata penduduk telah membuat persiapan awal bagi menghadapinya.