Air pasang besar: 30 penempatan berdepan risiko banjir, bomba pantau situasi
Astro Awani
Januari 3, 2022 09:44 MYT
Januari 3, 2022 09:44 MYT
KUALA TERENGGANU: Lebih 30 kampung dikenal pasti berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini.
Susulan itu, 400 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu digerakkan bagi memantau situasi tersebut.
Pengarahnya Md Hilman Abd Rashid berkata, rondaan berkala turut dilakukan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan penduduk yang tinggal di berhampiran pantai dan sungai.
Menurutnya, pihaknya bersiap sedia dari segi aset dan keanggotaan bagi memindahkan penduduk sekiranya berlaku banjir kesan daripada fenomena air pasang besar yang berlaku.
"Pemantauan yang kita lakukan ini membabitkan sepanjang pantai, daripada Besut sehingga ke Kemaman, selain pasukan bomba agensi lain juga turut sentiasa membuat rondaan.
"Kita akan melihat kemungkinan berlakunya banjir kilat atau air naik secara mendadak dan apa yang kita risaukan apabila berlakunya hujan lebat pada masa air pasang besar," katanya selepas melakukan pemantauan air pasang besar di Kampung Losong di sini malam tadi.
Justeru, beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan sungai dan pantai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan semasa.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkunjung ke pantai untuk menyaksikan fenomena air pasang demi keselamatan mereka.