Air pasang besar: 20 mangsa banjir berpindah ke PPS
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 18, 2024 11:10 MYT
Oktober 18, 2024 11:10 MYT
KUALA PERLIS: Seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir awal pagi ini selepas kediaman mereka di Kampung Baru, Kuala Perlis dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di Perlis.
Kesemua mangsa termasuk dua warga emas dan seorang kanak-kanak ditempatkan di PPS Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Kuala Perlis yang dibuka sejak jam 2.30 pagi Jumaat.
Pegawai Operasi Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak 33 anggota APM dari ibu pejabat APM negeri dan daerah di Kangar, Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis dikerah untuk melakukan tinjauan fenomena air pasang besar yang berlaku.
“Kita turut menggunakan sembilan aset milik kita lori dan kenderaan pacuan empat roda untuk melakukan pemantauan di sekitar pesisir pantai Kuala Perlis sehinggalah ke kawasan Kuala Sanglang.
“Pemantauan kita mendapati fenomena air pasang besar yang berlaku sejak semalam berlaku sekali lagi hari ini di mana paras air yang diramalkan berlaku adalah sekitar 3.6 meter seperti yang dijadualkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.
“Penduduk yang terjejas kemudian kita pindahkan ke PPS yang diaktifkan dalam perbincangan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, fenomena air pasang besar yang berlaku di sekitar Seberang Ramai di Kuala Perlis awal pagi ini menyebabkan beberapa kampung dinaiki air hingga ke paras betis.
Tinjauan mendapati kediaman penduduk di beberapa buah kampung di kawasan Seberang Ramai seperti Kampung Pulau Ketam, Kampung Seberang Alor, Kampung Tengah, Kampung Hujung, Kampung Tanah Baru dan beberapa kampung berhampiran mulai dinaiki air laut sekitar jam 11.30 malam sehingga kemuncaknya pada jam 12.40 tengah malam apabila air laut dilihat mula memenuhi segenap pelusuk kawasan kampung berkenaan yang terkenal dalam kalangan pelancong sebagai Kampung Warna Warni.
Malah Dataran Semarak Kampung Tengah dan Medan Selera Koma Laut, Kuala Perlis yang menempatkan premis makanan, dewan orang ramai serta parkir kereta juga turut dinaiki air.
Jadual ramalan fenomena berkenaan serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai fenomena itu sedikit sebanyak membantu penduduk melakukan persiapan dengan meletakkan barangan atau dokumen pentung di tempat yang selamat.
Seorang penduduk Wan Shahriman Wan Ali, 56 dari Kampung Tengah, Seberang Ranai berkata, air mulai memasuki kediaman penduduk sedikit demi sedikit sekitar jam 10 malam sehinggalah ia memenuhi segenap kediaman penduduk di kampung itu dalam dua jam kemudian.
“Kita sebenarnya sudah pun dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai fenomena ini dan kiat sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku kerana ini adalah fenomena tahunan setiap kali berlakunya musim monsun.
“Rumah saya juga turut dinaiki air namun kita sejak siang lagi sudah memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi kerana kita tahu air pasang ini akan terus mengalir memasuki kediaman penduduk termasuklah jeti nelayan di sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Ramai, awal pagi ini.
Rakannya, Mohd Khairi Abdul Aziz, 45 berkata, pihaknya yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah sejak awal malam semalam sudah berada di perkampungan itu bagi meninjau persiapan dan keadaan di kampung itu sekiranya terdapat keperluan untuk dipindahkan.
“Kita dapati penduduk di kawasan kampung ini sangat peka dengan keadaan yang berlaku serta sudah awal lagi mempersiapkan diri mereka dengan mengalihkan barangan penting mereka ke tempat yang selamat.
“Selain itu juga, kita turut menjangkakan akan berlaku lagi fenomena air pasang ini pada malam ini kerana ini adalah situasi setiap tahun yang dialami oleh penduduk di kawasan kampung ini,” katanya.
Air kemudian surut secara berperingkat sekitar jam 2 pagi hingga jam 3.30 pagi.
Fenomena air pasang besar di sekitar pesisiran pantai Kuala Perlis dijangka akan berlaku lagi pada awal pagi esok (19 Oktober) dengan jangkaan paras air mencecah 3.7 meter.