Air pasang besar: 114 kawasan di Kedah berisiko banjir

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 17, 2024 10:00 MYT
Kawasan ini berisiko mengalami kekerapan banjir tidak kurang daripada tiga kali dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini yang perlu pemantauan dan tumpuan. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah kenal pasti 114 kawasan 'hotspot' di 11 daerah mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Oktober ini berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024.
Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, 'hotspot' terbanyak iaitu di Baling yang mempunyai sebanyak 46 kawasan diikuti 14 di Langkawi, 12 di Bandar Baharu dan 10 di Kuala Muda.
Beliau berkata, kawasan ini berisiko mengalami kekerapan banjir tidak kurang daripada tiga kali dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini yang perlu pemantauan dan tumpuan.
“Bagaimanapun tidak semestinya tepat-tempat lain tidak dinaiki air ini berdasarkan pengalaman kita yang lepas sebab itu kita tentukan 114 hotspot yang terdapat di negeri Kedah terdiri daripada sebelas daerah dan jumlah kawasan.
“Persediaan rapi dilakukan dengan kesemua 2,848 anggota JBPM Kedah telah bersiap-siaga berdepan segala kemungkinan berikutan jangkaan pertembungan antara hujan lebat serta air pasang besar yang dilanda melanda negeri ini esok,” katanya selepas ditemui ketika melakukan persediaan JBPM Kedah menghadapi air pasang dan banjir di Pusat Operasi JBPM di Alor Setar, pada Khamis.
Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih mengutamakan keselamatan daripada memilih untuk berada di kawasan merbahaya, hanya semata-mata untuk membuat siaran langsung atau merakam video bagi dimuat naik di laman media sosial masing-masing.
Katanya, tindakan sedemikian hanya mengundang bahaya lebih-lebih lagi di kawasan banjir yang permukaan jalannya tidak kelihatan.
“Orang ramai diminta tidak secara semberono mengulas mengenai sesuatu perkara di luar pengetahuan mereka, bagi mengelakkan timbulnya rasa cemas dalam kalangan penduduk setempat.
“Apabila bermain dengan air ini tambahan pada waktu malam bukan satu amalan yang baik jangan buat siaran langsung media sosial di waktu malam tambah-tambah kalau tempat itu hujan dibimbangi mengundang kepada bahaya lain walaupun niat dia lain tetapi kita takut dengan perbuatan itu menyebabkan bahaya lagi tinggi kepada dia,” katanya.
#air pasang besar #banjir #hotspot #hujan lebat
;