Air naik dengan cepat hingga paras dada, warga emas di Felda Trolak cemas

Bernama
Mei 26, 2022 05:45 MYT
Saarani (tiga, kanan) melawat rumah mangsa banjir di Jalan Teratai, Felda Trolak Selatan, Sungkai, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Mohd Zaidi Aziz (dua, kanan). --fotoBERNAMA
TANJUNG MALIM: Sebuah keluarga di Felda Trolak Selatan di sini mengalami situasi cemas apabila tidak menyangka air naik dengan cepat hingga paras dada pada 2.30 petang Rabu dan apa yang lebih malang bencana itu telah beberapa kali berulang.
Arbainah Achel, 70, berkata musibah kali ini merupakan banjir paling teruk pernah dialaminya sejak hampir 50 tahun warga emas itu tinggal di kawasan berkenaan.
"Dalam pukul 2.30 petang air dah naik hingga paras dada semasa hujan lebat, tidak seperti sebelum ini air hanya paras pinggang.
"Bimbang akan keadaan itu, kami terpaksa melompat-lompat mencari bahagian yang lebih tinggi kerana bimbang dihanyutkan air yang agak deras namun syukur kerana kami selamat," luah wanita warga emas itu ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Katanya ketika kejadian beliau baru sahaja selesai solat zuhur dan kejadian itu amat menyedihkan mereka apatah lagi telah menyebabkan mereka mengalami kerugian besar selepas semua barangan kelengkapan rumah musnah ditenggelami air.
"Banjir yang melanda sebelum hari raya baru-baru ini pun belum siap dikemas, tiba-tiba bencana sama melanda lebih teruk dengan lumpur yang tebal dan sukar dibersihkan," katanya.
Arbainah menggesa pihak berkuasa negeri segera menyelesaikan masalah itu kerana kejadian banjir di kawasan itu sering berulang.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Che Roha Baharuddin, 53, berkata dia terpaksa tidur dalam keadaan bergelumang dengan lumpur kerana kepenatan menghadapi banjir itu pada Rabu.
Ibu kepada tiga anak itu berkata dia hanya tinggal bersama bapanya yang berusia 78 tahun serta anak bongsunya yang sakit kanser dan kerja membersihkan rumah yang luas amat sukar kerana lumpur yang tebal berikutan terletak berhampiran sungai.
"Saya mengemas dengan bantuan anak perempuan saya ini walaupun dalam keadaan sakit dan saya pula mengalami demam namun kami tetap menggunakan kudrat yang ada.
"Bagaimanapun syukurlah kami dapat naik ke tingkat atas rumah dengan segera untuk menyelamatkan diri kerana air naik dengan cepat dan sangat deras semalam," katanya.
Hujan lebat petang Rabu menyebabkan beberapa kawasan di tiga daerah iaitu Muallim, Batang Padang dan Hilir Perak dilanda banjir kilat hingga ratusan mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan kebanyakan kawasan mula surut sejak pagi tadi.
-- BERNAMA
#banjir #pusat pemindahan #Felda Trolak Selatan #warga emas cemas
;