Air minuman Starfresh, Waterfuns ditarik balik daripada pasaran

Astro Awani
Julai 1, 2019 20:30 MYT
Pengguna yang telah membeli produk air minuman berbungkus dengan jenama dan tarikh akhir yang tersebut dinasihatkan tidak meminum produk tersebut. - Foto KKM
Kilang yang mengeluarkan air minuman berbungkus (AMB) jenama Starfresh dan Waterfuns telah diarahkan menarik balik produk itu di pasaran tempatan kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.
Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggantung lesen AMB kilang berkenaan berkuatkuasa 28 Jun 2019.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil verifikasi ke atas kilang oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menunjukkan, program jaminan keselamatan makanan tidak dilaksanakan dengan berkesan.
"Aktiviti pemprosesan dan pengeluaran AMB bagi tujuan perdagangan atau perniagaan adalah tidak dibenarkan dan pihak kilang diarahkan untuk menjalankan tindakan pembetulan dalam tempoh penggantungan lesen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) dilaporkan telah mengarahkan produk minuman jenama Starfresh ditarik balik daripada pasaran Singapura selepas dikesan tercemar bakteria berkenaan melibatkan produk yang berisipadu 1,500ml dan 500ml dengan tarikh luput pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.
Dr Noor Hisham berkata hasil analisis terhadap jenama Starfresh yang dieksport ke Singapura dan jenama Waterfuns yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Katanya pihak kilang juga akan menarik balik secara sukarela lain-lain jenama produk AMB yang terlibat iaitu Iceberg, Sukahati, Rofina, Dixy Green dan Dixy Blue.
"KKM menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983," katanya.
Justeru beliau turut menasihatkan pengguna yang telah membeli produk AMB dengan jenama dan tarikh akhir yang terlibat agar tidak minum produk tersebut.
Bakteria Pseudomonas aeruginosa yang boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan serta tanah boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan yang rendah.
Dr Noor Hisham turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung perkara itu atau sebarang isu keselamatan makanan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
#Agensi Makanan Singapura #air minuman berbungkus #Akta Makanan 1983 #Bakteria #Facebook #gantung lesen #Kementerian Kesihatan #keselamatan #kesihatan #kilang #Noor Hisham Abdullah #pasaran #Singapura #Starfresh #tarik balik produk #tarikh akhir #tercemar #Waterfuns
;