Air mata pelarian Rohingya...ini kisah Saiful Rohin

Dr Azlinariah Abdullah
Jun 20, 2018 10:53 MYT
Saiful Rohin, pelarian Rohingya yang kini menetap di Kanada giat membantu Rohingya lain menerusi usahanya sebagai aktivis dan pelajar jurusan kewartawanan. - Foto Facebook/Saiful Rohin
Namakan apa sahaja bentuk kezaliman. Pembunuhan, wanita dirogol, rumah dibakar atau anak disembelih.
Rohingya, warga tiada negara, mengalaminya, berdepan dengannya. Kerana penganiayaan dan kezaliman itu, mereka jadi pelarian, menumpang di mana-mana negara yang baik hati menerima mereka.
Namun, yang berjaya keluar daripada bentuk penindasan itu, perlu teruskan hidup, walaupun dalam keadaan serba serbi kepayahan.
Sebagai pelarian, mengharapkan bantuan mereka yang prihatin di negara tempat mereka berlindung, satu-satunya jalan keluar mudah untuk terus buka mata keesokan hari dan hari-hari selepasnya.
Tetapi itu semua bukan untuk Saiful Rohin, salah seorang daripada 3.5 juta pelarian Rohingya di seluruh dunia.
Sejak berpindah ke Kanada dua tahun lalu, Saiful, kini berusia 30 tahun, enggan menjadi peminta sebaliknya komited untuk memberi.
Salah seorang wakil kerajaan Kanada, Peter Harder, tekun mendengar masalah pelarian Rohingya diceritakan oleh Saiful Rohin. - Foto Facebook/Saiful Rohin
Rumah pernah dibakar, berpisah dengan ibu bapa dan saudara mara ada antaranya yang dibunuh kejam, Saiful enggan jadikan alasan kenangan sedih susah padam itu menghalang apa yang mahu dijayakannya - membantu seisi warga Rohingya, supaya mereka bukan lagi dilabel pelarian yang sedih dengan linangan air mata.
Landasan dipilihnya, menjadi aktivis, pada masa sama, melanjutkan pelajaran dalam bidang kewartawanan supaya kemudiannya cerita benar mengenai pelarian Rohingya disampaikan menerusi saluran media.
"Kami tiada media di Myanmar, tiada telefon dibenarkan di sana (Rakhine). Kalau dahulu sebelum merdeka, ada radio Rohingya.
"Perkembangan ke atas Rohingya berlaku setiap hari, tetapi laporan benar mengenainya tidak didedahkan sebagaimana sepatutnya.
"Saya rasakan, menerusi media, kenyataan salah mengenai Rohingya dibetulkan, perjuangan tentang mereka dapat disebar luaskan,'' kata Saiful dalam satu komunikasi WhatsApp dengan penulis.
Saiful, aktivis Kitchener-Waterloo Kanada, turut ditemu bual oleh media tempatan mengenai kejayaan dan perjuangannya untuk komuniti Rohingya.
Menurut Saiful, beliau pernah hidup susah di Bangladesh, kemudian di Thailand, tetapi meneruskan kerja-kerja sebagai aktivis di Malaysia.
"Di Malaysia, saya tekad memilih kewartawanan sebagai jalan membantu Rohingya lain. Di Malaysia, saya jadi guru mengajar kanak-kanak pelarian di sekolah Rohingya dan petugas di UNHCR.
"Tetapi, di Malaysia, semuanya bermula apabila televisyen untuk Rohingya, Rvision, berpangkalan di Kuala Lumpur, ditubuhkan susulan siri keganasan ke atas Rohingya pada 2012,'' kata Saiful.
Penerimaan RVision menyemarakkan impiannya untuk bergelar wartawan profesional Rohingya satu hari nanti.
"Dengan adanya RVision, saya melihat, kami yang tiada negara ini boleh ke mana-mana untuk belajar bidang kewartawan dan kemudiannya membantu media kami menyampaikan maklumat,'' ujar beliau yang kini merupakan pelajar jurusan media dan kewartawanan di Kolej Conestoga, Kitchener, Ontario, Kanada.
Sebagai aktivis kemanusiaan untuk Rohingya di Kanada, Saiful berkesempatan menemui Menteri Pertahanan negara itu, Harjit Singh Sajjan. - Foto Facebook/Saiful Rohin
Jika habis pengajian pada 2019 sebagaimana dirancang, beliau akan menjadi Rohingya profesional pertama dalam bidang kewartawanan dalam kalangan 3.5 juta pelarian Rohingya di seluruh dunia.
Ditanya kenapa bidang kewartawanan dipilih, Saiful akui, ia bukan satu bidang yang mudah untuk diikuti.
"Sangat mencabar. Tetapi, kewartawan beri saya motivasi, pada hemat saya, hanya melalui kewartawanan boleh melorong saya beri bantuan kepada komuniti ini, yang saya pasti, mereka meletakkan harapan tinggi kepada saya," katanya lagi.
Walaupun sudah tidak lagi berada di Malaysia, usaha murni membantu Rohingya diteruskan Saiful di sebalik tugasnya yang sibuk sebagai pelajar.
Antara usaha itu termasuk mengagihkan beberapa majalah mengenai Rohingya kepada anggota Parlimen dan pihak tertentu di universiti.
Tambah Saiful, kerajaan Kanada dan badan bukan kerajaan (NGO) banyak membantunya dan rakan Rohingya lain membangunkan pejabat pentadbiran di Kitchener.
Kisah Saiful antara cerita manis di celah-celah putaran kesengsaran dialami pelarian - tanpa terkecuali Rohingya.
Namun, bezanya Saiful dan pelarian Rohingya lain, beliau jadikan rakaman kisah sedih itu pembakar semangat untuk mengeluarkan mereka daripada kesedihan lain pula iaitu masa depan tidak menentu disebabkan status dipegang.
Data terbaharu dikeluarkan agensi pelarian PBB, UNHCR sempena Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun, mendedahkan, hampir 69 juta orang melarikan diri dari perang, keganasan dan penganiayaan dipindahkan secara paksa tahun lalu.
BACA: 44,000 larikan diri setiap hari - UNHCR
Penghijrahan etnik Rohingya secara besar-besaran tahun lalu meningkatkan jumlah keseluruhan perpindahan secara paksa pada 2017 kepada 68.5 juta orang.
Kanak-kanak pelarian Rohingya menghadiri sekolah di kem pelarian Kutupalong, berdekatan dengan Cox's Bazaar. - Foto Reuters/Tyrone Siu
Kalau angka itu dijadikan penanda aras, kita berharap ada lebih ramai "Saiful" untuk membantu golongan bernama pelarian.
#20 Jun #aktivis #etnik #hari pelarian sedunia #Islam #kezaliman #minoriti #Myanmar #pelarian #Rohingya
;