Air mata Najib gugur cerita mengenai bapa
Azyyati Ahmad
Januari 14, 2016 16:38 MYT
Januari 14, 2016 16:38 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucaptama di seminar memperingati ulang tahun ke-40 pemergian bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada Rabu.
Kata Najib, beliau bangga menjadi anak kepada 'Bapa Pembangunan' itu dan sentiasa menjadi contoh kepada beliau dalam melakukan pekerjaannya setiap hari.
"Saya berdiri di depan anda semua dan saya berbangga menjadi anak beliau, setiap hari saya hidup untuk mengekalkan warisan tersebut.
"Beliau merupakan contoh kepada saya dan inspirasi kepada semua rakyat Malaysia," katanya dalam Majlis Anjuran Asian Strategy And Leadership Institute (Asli) di sini hari ini.
Kata Najib lagi, pelbagai jasa bapanya yang telah banyak mengubah nasib bumiputera antaranya Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970.
“Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bagi membasmi kemiskinan dengan meningkatkan peluang pekerjaan dan kenaikan tahap pendapatan serta membentuk semula ekonomi bagi membuang identiti bangsa berdasarkan ekonomi,
“Usaha telah berjaya menunjukkan keputusan yang memberansangkan. Tahap kemiskinan telah berkurang dari 49 persen pada tahun 1970 kepada 0.6 persen pada tahun 2014, manakala penyertaan Bumiputera dalam beberapa pekerjaan juga meningkat antaranya doctor yang meningkat dari 3.7 persen kepada 46 persen dan jurutera dari 7 kepada 35 persen,” katanya.
Dalam majlis itu, Najib turut melancarkan buku kelolaan Tun Ahmad Sarji yang bertajuk 'My Recollections Of Tun Abdul Razak’.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Utama Khalil Yaakob, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Tan Sri Jeffrey Cheah.