Air mata banduan iringi takbir raya

Bernama
Mei 26, 2020 11:38 MYT
Sama ada banduan baharu atau lama, setiap kali mendengar alunan takbir raya, air mata mereka pasti akan mengalir teringatkan orang tersayang. - Gambar BERNAMA
Walau tabah dan kental jiwa seseorang banduan, air mata mereka tetap tumpah tatkala mendengar takbir Hari Raya Aidilfitri, saban tahun.
Pengalaman itu dikongsi Penguasa Penjara Marang, Ahmad Nazri Mohamad kepada Bernama baru-baru ini, setelah berkhidmat selama 32 tahun dan 16 kali menyambut Syawal bersama banduan.
Katanya, hari raya pertama adalah episod paling sayu terutama kepada banduan baharu kerana mereka tidak pernah terkurung dan terpisah dengan keluarga, namun banduan lama juga adakala berada dalam situasi sama kerana takbir hari raya membangkit 'aura' berbeza.
"Kebiasaan kita melihat mereka bergurau, beriadah dan sebagainya tetapi pada hari raya, terutama pada pagi raya apabila mendengar takbir raya berkumandang, kita akan dapat lihat wajah yang sayu. Masing-masing akan teringat pada keluarga, isteri dan anak-anak.
"Kerinduan itu tidak boleh dinafi walaupun disembunyikan. Sebagai pegawai penjara kita bertanggungjawab untuk menceriakan mereka supaya ia tidak memberi kesan kepada keselamatan," katanya.
Menurut Ahmad Nazri, dalam tempoh perkhidmatan selama 32 tahun tersebut, beliau telah menyambut hari raya di dua buah penjara berasingan iaitu di Penjara Marang dan Penjara Simpang Renggam, Johor.
Kebiasaannya pada hari raya pertama, banduan beragama Islam akan dibawa ke surau untuk bertakbir dan solat sunat hari raya sebelum menjamah sarapan serta kembali ke tempat tahanan masing-masing.
Tidak seperti tahun sebelum ini, banduan kini tidak dibenarkan menerima kunjungan kaum keluarga ekoran langkah pencegahan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Biasanya pada pagi raya itu mereka (banduan) akan datang berkongsi cerita. Ketika itulah kita (pegawai) akan memainkan peranan dan memberi nasihat bahawa bukan semua orang dapat merasa gembira dan ada masa kita akan alami masa sukar," katanya.
Sementara itu, salah seorang banduan, Azizul, 25, berkata tahun ini memberi pengalaman ketiga kepadanya dalam menyambut Aidilfitri di penjara, namun takbir raya tetap membuat hatinya pilu dan teringat kenangan bersama keluarga.
Azizul berkata, walau bagaimana sedih sekalipun, dia tetap perlu menerima hakikat bahawa ia adalah realiti yang harus dihadapi kerana hukuman yang perlu dijalaninya masih panjang iaitu selama 56 tahun dan 23 sebatan ekoran merogol teman wanitanya yang berstatus juvana.
"Setiap kali mendengar takbir raya, air mata mesti mengalir. Teringat pada arwah ayah... padahal masa di luar (sebelum masuk penjara), ia bagai suatu perkara biasa. Saya betul-betul sedih.
"Di sini saya banyak mengaji al-Quran dan belajar agama. Saya rasa itu sahaja yang dapat meredakan perasaan kesal. Saya betul-betul insaf... tak mahu lakukan kesalahan ini lagi," katanya dalam nada sebak dan sempat menyatakan mahu belajar membuat songket di penjara.
Azizul yang mempunyai fizikal dan raut wajah kacak itu berkata, setiap kali ibunya berkunjung ke penjara, dia akan diingatkan untuk solat dan berkelakuan baik serta reda dengan apa yang telah berlaku.
Kata-kata itu menjadi pegangan hidupnya kini dan dia turut menasihati orang lain supaya menjauhi pergaulan bebas kerana ia mampu menjadi punca melakukan kesilapan seperti mana dirinya. - BERNAMA
#air mata banduan #pegawai penjara #Penjara Marang #takbir raya
;