Air laju seperti air terjun - Mangsa banjir

Shuhada Abdul Kadir
Januari 2, 2022 14:32 MYT
Kali terakhir penduduk taman itu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara(PPS) adalah pada tahun 2016 lalu.
GEMAS: “Apabila saya perasan air dah mula masuk taman, saya terus keluar rumah ketuk pintu jiran-jiran bagi mengejutkan mereka kerana air terlalu laju seperti air terjun.”
Itu perkongsian seorang warga emas Samsudin Omar, 60, yang menceritakan detik cemas selepas kediaman penduduk di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, di sini dinaiki air sehingga 1.5 meter dalam kejadian banjir semalam.
Samsudin yang mesra disapa ‘Apak’ oleh penduduk setempat berkata, tempat tinggalnya di taman berkenaan sebelum ini seringkali dilanda banjir besar sehinggakan pernah mencecah paras bumbung pada tahun 2011 lalu.
Katanya, kali terakhir mereka berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara(PPS) adalah pada tahun 2016 lalu dan mengakui seringkali berjaga-jaga terutamanya apabila hujan lebat berterusan.
BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Jelasnya, pada malam Jumaat lalu dia bersama beberapa penduduk berjaga dan memantau paras air Sungai Kelamah, namun tidak menyangka air naik terlalu pantas dan mendadak.
“Mulanya kami memang berjaga sampai kira-kira jam 4 pagi, tetapi keadaan termasuk paras air sungai ketika itu tidak bahaya lagi dan kami jangkakan mungkin air akan mula naik jam 8 atau 9 pagi.
“Apabila semua sudah balik ke rumah, saya masih tidak sedap hati untuk tidur sebelum dimaklumkan air semakin deras dan saya tengok air punya laju mengalahkan air terjun.
“Benda pertama di fikiran saya selepas selamatkan keluarga, saya terus ketuk pintu semua rumah di taman ini yang mana kalau saya pun terlelap malam itu, tak tahu apa akan jadi, mungkin ada yang hilang nyawa kerana air terlalu laju,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Mengulas lanjut katanya, meskipun kecewa apabila rata-rata penduduk gagal menyelamatkan barangan peribadi susulan siren amaran di kawasan itu tidak berfungsi, dia bersyukur kejadian banjir mengejut itu tidak melibatkan nyawa.
Terdahulu, kesemua penduduk taman berkenaan dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Kelamah Gemas yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan taman perumahan itu.
Tinjauan Astro AWANI sekitar daerah Tampin sehingga petang ini juga mendapati hujan lebat berterusan sejak malam tadi selain empat jalan utama ditutup.
#Banjir 2021 #Gemas #Tampin #pusat pemindahan
;