Air kosong RM5: Pihak restoran di Langkawi mohon maaf, dakwa pekerja cuai
Sinar Harian
Disember 29, 2023 18:35 MYT
Disember 29, 2023 18:35 MYT
LANGKAWI: Kecuaian pekerja sebuah restoran di Jalan Pantai Chenang di sini memasukkan kod minuman didakwa menyebabkan seorang pelanggan mereka dicaj RM5 untuk pesanan air kosong.
Berdasarkan status permohonan maaf yang dimuat naik di Facebook Langkawi Hari Ini (LHI), pihak restoran berkenaan meminta pelanggan terbabit menghubungi mereka semula untuk memulangkan caj berlebihan yang dikenakan.
"Staf kita tersilap masuk nombor kod (1111) nescafe dan lupa tukar harga asal - nombor kod (CA07) air kosong (system error)," katanya memetik status yang dimuat naik oleh restoran tersebut pada Khamis.
Menurutnya, kejadian terbabit berlaku ketika waktu sarapan pagi pada 21 Disember lalu.
"Untuk sarapan pagi, kita baru bermula pada tempoh cuti sekolah ini dan banyak juga pekerja kita masih baharu.
"Kita mohon maaf atas kesilapan ini, sistem masih baharu untuk pekerja baharu sebab itu boleh tersalah key in.
"Kita akan pastikan perkara ini tidak akan berulang lagi," katanya.
Jelasnya, restoran mereka beroperasi sejak tahun 2015 dan caj bagi air kosong adalah RM1 sejak dahulu lagi.
Sebelum ini, tular sekeping resit yang memaparkan harga bagi pesanan air kosong sebanyak RM5.
Isu itu menjadi pendebatan dalam kalangan orang ramai kerana harga minuman terbabit dianggap keterlaluan. -Sinar Harian