Air Kolam Bukit Merah susut: Lebih 4,000 petani bakal terkesan

Amirrul Rabbani
Jun 3, 2022 15:45 MYT
Razman berkata ketika ini sawah di Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Selinsing dengan jumlah keluasan kira-kira 12,400 hektar amat memerlukan sumber air. - Foto Astro AWANI
BAGAN SERAI: Lebih 4,000 orang petani dijangka akan terkesan sekiranya paras air di Empangan Kolam Bukit Merah, di sini, terus menyusut.
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata ketika ini sawah di Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Selinsing dengan jumlah keluasan kira-kira 12,400 hektar itu amat memerlukan sumber air.
Justeru katanya kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dan mengambil langkah perlu sekiranya keadaan mendesak.
“Bukan lambat bertindak, sebaliknya kita sudah bertindak dengan membawa perkara ini mengikut saluran yang betul. Sekiranya keadaan terlalu kritikal, maka kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan untuk mengatasi masalah ini.
“Perkara ini (hal pertanian) ada kementerian di peringkat Pusat. Jadi sebab itu, kita (membawa perkara ini) melalui Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan seterusnya dibawa kepada pengetahuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Walau bagaimanapun sekiranya proses (kelulusan permohonan untuk pembenihan awan) memakan masa dan keadaan terlalu mendesak, maka kerajaan negeri akan bertindak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Program Solat Sunat Hajat dan Solat Sunat Istisqa atau Solat Meminta Hujan bersama-sama 200 jemaah di sini, pada Jumaat.
Selain itu Razman berkata kerajaan negeri telah memohon dan sedang menunggu jawapan balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan kerja-kerja pembenihan awan bagi mengatasi masalah penyusutan bekalan air di Empangan Kolam Bukit Merah.
Pada masa sama, Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Ridhuan Othman memberitahu susulan masalah berkenaan pengairan sumber bekalan air ke sawah terlibat telah dihentikan sejak 27 Mei lalu.
Jelasnya ketika ini, para petani bergantung kepada sumber air takungan simpanan sendiri bagi tujuan pengairan sawah yang dijangka mampu bertahan untuk tempoh sehingga dua minggu lagi.
“Kita bimbang sekiranya masalah ini berterusan, ia akan menyebabkan sawah kering-kontang dan tanah merekah dan seterusnya akan menjejaskan tanaman padi.
“Sekiranya masalah ini masih berlarutan dalam tempoh seminggu ke dua minggu lagi, bekalan padi di sini mungkin akan hentikan buat sementara,” jelas beliau.
Sebelum ini media melaporkan paras air di kolam empangan yang berkeluasan 41 kilometer persegi itu dilaporkan menyusut ekoran ketiadaan hujan dan cuaca panas akhir-akhir ini.
Untuk rekod, setakat ini paras air di Empangan Kolam Bukit Merah mencatatkan paras kritikal iaitu 20.4 kaki atau 6.218 meter, dengan taburan hujan di sekitar sebanyak 0.1 milimeter.
#Air Kolam Bukit Merah #exco Perak #petani #bekalan air
;