Air keruh: Projek EKVE masih dalam arahan berhenti kerja

Bernama
Februari 19, 2021 17:49 MYT
Pemaju dilarang menjalankan kerja-kerja tanah dan pembinaan berkuat kuasa 13 Oktober tahun lalu hingga ke suatu tarikh penarikan balik yang akan diberitahu kelak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang dikatakan menjadi punca air keruh di Sungai Klang sekarang masih berada dalam Arahan Berhenti Kerja yang berkuat kuasa sejak 13 Oktober tahun lalu.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Aziah Jaafar berkata arahan itu susulan pelanggaran syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing (EIA).
Katanya, pemaju hanya dibenar melakukan kerja baik pulih tebing sungai, penstabilan cerun dan penutupan cerun terdedah selain menyelenggara sebahagian cerun berhampiran Sungai Ampang yang runtuh akibat tekanan air dari dalam tanah dalam tempoh itu.
Jelas beliau, pemaju dilarang menjalankan kerja-kerja tanah dan pembinaan berkuat kuasa 13 Oktober tahun lalu hingga ke suatu tarikh penarikan balik yang akan diberitahu kelak.
"Saya dimaklumkan pihak pemaju EKVE akan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam masa terdekat berhubung perkara ini," katanya kepada Bernama.
Semalam, Bernama melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur (JPS WPKL) mengenal pasti kerja-kerja pembinaan EKVE sebagai punca air keruh di Sungai Klang di sekitar kawasan ibu kota termasuk projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di sini.
Hasil siasatan JPSWPKL pada 16 Feb lalu mendapati air keruh mula mengalir dari Sungai Ampang di Hutan Lipur Ampang, Selangor berhampiran 'intake' Loji Rawatan Air Ampang sebelum mengalir masuk ke Sungai Klang, disebabkan pembukaan tanah yang tidak terkawal.
Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya Norhayati Ahmad berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekeruhan air sungai tersebut pada tahun ini.
"Namun pada September tahun lalu, pihak MPAJ telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM250,000 dan notis Arahan Berhenti Kerja kepada pemilik konsesi EKVE (kerana isu pencemaran sungai dan banjir di kawasan berdekatan projek).
"MPAJ dimaklumkan pihak EKVE bersetuju membayar kompaun dalam masa terdekat," katanya.
-- BERNAMA
#Lebuhraya Lembah Klang Timur #EKVE #air keruh #sungai klang #arahan berhenti kerja #Jabatan Alam Sekitar #Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing #EIA
;