Air: Kenyataan Mohd Amar rakyat Kelantan boleh gali sendiri telaga tak bertanggungjawab - Nik Nazmi
Bernama
Ogos 10, 2023 17:48 MYT
Ogos 10, 2023 17:48 MYT
PUTRAJAYA: Sebarang pembinaan telaga untuk tujuan pengambilan air bawah tanah harus mematuhi keperluan dan garis panduan pihak berkuasa kerana terdapat risiko kandungan logam tinggi dalam tanah yang membahayakan kesihatan.
Merujuk kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan rakyat negeri itu boleh menggali sendiri telaga jika air yang dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak memuaskan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan membimbangkan.
"Bekalan air Kelantan sememangnya bermasalah dengan sebahagian besar penduduk negeri itu tidak dibekalkan dengan air bersih dan berkualiti," katanya yang turut menerima pelbagai aduan berhubung bekalan air setiap kali lawatannya ke Kelantan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Nik Nazmi berkata beliau menerusi kementeriannya akan terus memantau keadaan air Kelantan dan mengulangi komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI untuk menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan.
Menurut laporan media, Mohd Amar dilaporkan berkata isu air dihadapi rakyat Kelantan bukannya masalah besar, malah mereka yang terjejas dengan masalah air dapat memahami situasi tersebut dan mampu menguruskannya dengan menggali perigi atau membuat telaga tiub.
Nik Nazmi sebelum ini dilaporkan berkata Putrajaya tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih AKSB jika usaha menyelesaikan masalah air di negeri itu tidak berhasil dan gagal mendapat kerjasama.
Anwar pada 18 Jun lepas mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan, yang merupakan peruntukan tambahan kepada dana RM1 bilion yang diumumkan pada Mei 2023 yang disediakan kerajaan Pusat bagi Kelantan menangani masalah air.
-- BERNAMA