Air Kelantan buat persediaan awal hadapi peningkatan penggunaan bekalan air
Astro Awani
Januari 29, 2022 11:28 MYT
Januari 29, 2022 11:28 MYT
KUALA LUMPUR : Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah membuat persediaan awal bagi meghadapi jangkaan peningkatan pengunaan bekalan air terawat semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina.
AKSB dalam satu kenyataan memaklumkan ia termasuk memastikan kesemua loji rawatan air (LRA) AKSB beroperasi pada kapasiti maksimum dengan jumlah pengeluaran air melebihi 500 juta liter sehari.
"Ia termasuk kerja penyelenggaraan di LRA-LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat dihentikan buat sementara waktu.
"Lebih 450 tangki statik (TS) telah tersedia di lokasi-lokasi strategik untuk membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air jika berlaku gangguan bekalan air dan ianya adalah percuma.
"AKSB turut menyediakan sembilan buah lori tangki air milik AKSB dan 30 lori air kontrak yang disewa melalui peruntukan Kerajaan Negeri untuk mengisi air di tangki stati dan menghantar air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air," katanya.
Selain itu, unit pembaikian paip AKSB dan unit mekanikal dan elektrikal AKSB di seluruh jajahan sentiasa dalam keadaan tunggu untuk menghadapi sebarang kejadian diluar jangka seperti insiden paip pecah dan kerosakan pam.
Justeru itu, AKSB mengharapkan agar semua pelanggan menggunakan air secara berhemah dan membuat laporan insiden paip bocor atau pecah pada kadar segera kepada AKSB.