Air hitam mengalir: Kanak-kanak sedang mandi cedera terkena bahan kimia
Sinar Harian
April 7, 2023 17:25 MYT
April 7, 2023 17:25 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan nyaris cedera parah setelah terkena bahan kimia menerusi paip dalam bilik air di rumahnya di Kepong di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berumur enam tahun dipercayai sedang mandi.
Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Hasnol, 33, berkata, bahan kimia berkenaan mengalir melalui paip milik jirannya.
"Saya terkejut setelah mendengar jeritan anak, saya terus menerpa ke dalam bilik air sebelum mendapati ada air hitam yang mengalir pada paip jiran tingkat atas yang terletak di bawah pancuran air.
"Saya panik setelah anak kata dia kepedihan akibat terkena bahan tersebut sebelum saya bergegas naik ke rumah jiran di tingkat atas untuk memberitahu mengenai perkara terbabit," katanya pada Jumaat.
Katanya, dia terus membawa anaknya itu mendapatkan rawatan lanjut di klinik berhampiran.
"Saya lega setelah doktor memaklumkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kesan merah di seluruh badannya juga sudah hilang.
"Jiran maklumkan yang paipnya tersumbat, menyebabkan dia terpaksa guna bahan kimia tersebut untuk memastikan saluran air kembali seperti biasa," katanya.
Jelasnya, kejadian sebegini seharusnya tidak berlaku kerana ia boleh mengundang risiko dan bahaya kepada pihak lain.
"Sepatutnya tak boleh ambil tindakan sendiri dengan memasukkan bahan kimia untuk selesaikan masalah paip tersumbat, sebab ia berisiko.
"Saya tak buat laporan polis kerana tak mahu panjangkan perkara ini, namun saya harap apa yang berlaku ini tidak berlaku kepada orang lain di luar sana," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi berkata semakan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian. -- Sinar Harian