Air dicatu jika paras Empangan Timah Tasoh catat 26.20 meter
Bernama
April 1, 2016 21:13 MYT
April 1, 2016 21:13 MYT
Kerajaan negeri Perlis akan meminta Syarikat Air Perlis (SAP) mencatu bekalan air di bahagian utara negeri ini sekiranya paras air di Empangan Timah Tasoh menurun kepada 26.20 meter ekoran kemarau akibat fenomena El Nino.
Exco Kerajaan Negeri Datuk Mat Rawi Kassim berkata bacaan semasa paras air di empangan itu hari ini mencapai paras kritikal iaitu 26.49 meter dengan suhu 39 darjah Celsius berbanding 26.51 meter semalam.
"Berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, bacaan pada paras 26.50 meter dikategorikan sebagai kritikal dengan purata penyusutan paras air adalah sebanyak 0.001 meter sehari.
"Sekiranya paras air sudah mencapai bacaan pada skala 26.20 meter, kita akan lakukan catuan kegunaan domestik bagi penduduk di kawasan terlibat," katanya pada sidang media di empangan itu di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Mat Rawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Beseri berkata bekalan air domestik tidak terjejas sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan lagi walaupun jika kemarau berterusan.
"Air di empangan ini mampu bertahan sebulan lagi sekiranya tiada hujan langsung. Bagaimanapun, kita harap supaya hujan akan turun dalam masa terdekat.
"Saya juga minta penduduk di negeri ini memberi kerjasama bagi memastikan bekalan air khusus untuk keperluan domestik mencukupi dengan menjimatkan penggunaannya," katanya.
Mat Rawi berkata Empangan Timah Tasoh membekalkan 40 peratus keperluan air kepada penduduk di negeri ini khususnya di kawasan utara Perlis manakala 60 peratus lagi penduduk di selatan Perlis menerima bekalan air dari terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Kedah.
Kapasiti asal air di empangan itu adalah sebanyak 13.21 juta meter padu, yang menyalurkan sebanyak 58,000 meter padu air sehari untuk kegunaan domestik dengan purata penggunaan air bagi setiap penduduk adalah sebanyak 212 liter sehari.