Air berwarna biru cemari Sungai Kandis

Sinar Harian
Jun 2, 2024 03:10 MYT
Aliran air longkang bertukar biru dikesan di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Omboh, dekat Shah Alam, pada Sabtu. - Foto LUAS/Sinar Harian
SHAH ALAM: Aliran air longkang bertukar biru dikesan di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Omboh dekat sini dipercayai akibat pembuangan cat pada Sabtu.
Berikutan itu, pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bergegas ke lokasi di kawasan Jalan Sellathevan, Klang kira kira jam 12.30 tengah hari.
LUAS memaklumkan, siasatan dilakukan sekitar kawasan berhampiran bagi menjejaki punca sebenar kejadian tersebut.
"Semakan lanjut mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran memasuki longkang berhampiran yang seterusnya mengalir ke dalam Sungai Kandis.
"LUAS melakukan pensampelan kualiti air dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan," menurut LUAS dalam satu kenyataannya di laman Facebook.
Berikutan itu, kata kenyataan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.
Pada masa sama, LUAS turut berkomunikasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa agensi.
"Kerajaan Selangor dan LUAS menegaskan dan menyeru kepada semua pemilik premis atau tapak industri agar sedar, cakna dan prihatin terhadap aktiviti di tapak.
"Pastikan aktiviti, operasi, keselamatan dan penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan dipantau dengan sempurna supaya tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai," kata kenyataan
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air negeri. - Sinar Harian
#air longkang bertukar biru #buang cat dalam longkang #Air Selangor #sungai kandis