Air bertakung punca kesesakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu

Sinar Harian
Mei 11, 2022 12:15 MYT
Aliran trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sesak akibat air bertakung hingga pertengahan jalan. - Foto ihsan MBPP
GEORGE TOWN: Air bertakung selepas hujan lebat menyebabkan aliran trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini sesak pada pagi Rabu.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, sehingga jam 9 pagi Rabu, keadaan lalu lintas terkini di lebuh raya terbabit masih bergerak perlahan akibat air bertakung sehingga pertengahan jalan berhadapan projek pembinaan (bersebelahan Mutiara Height).
Menurut kenyataan berkenaan, kejadian itu berlaku ekoran hujan lebat sejak jam 5 pagi.
Kerja-kerja pengorekan laluan air sedang dilaksanakan oleh petugas Jabatan Kejuruteraan MBPP.
"Dimohon kepada para pengguna laluan tersebut agar bersabar dan Unit Warden Trafik MBPP sedang membuat kawalan aliran trafik bagi melancarkan perjalanan.
"Sila gunakan laluan alternatif sekiranya ingin menuju ke pusat bandar raya," katanya.
Pada Rabu tular video kesesakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini berikutan air bertakung dan kelihatan beberapa kenderaan berhenti di tepi jalan kerana tidak mahu mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#aliran trafik #kesesakan lalu lintas #air bertakung #hujan lebat
;