Air Asia sambung semula penerbangan ke Taipei bulan depan
Bernama
November 13, 2022 21:32 MYT
November 13, 2022 21:32 MYT
TAIPEI: Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia, pada Ahad berkata ia akan menyambung semula perkhidmatan dari Taipei ke Kuala Lumpur mulai 1 Dis, Taipei ke Sabah mulai 10 Dis dan Taipei ke Chiang Mai dari 15 Dis.
Pengumuman itu dibuat berikutan kembalinya perkhidmatan laluan Kaohsiung - Kuala Lumpur pada Sabtu, menurut agensi berita Central (CNA).
AirAsia memulihkan perkhidmatan di laluan itu selepas dua tahun setelah Taiwan melonggarkan sekatan sempadan yang diperkenal sejak awal pandemik COVID-19, bulan lepas.
Perkhidmatan AirAsia pasca pandemik pertama ke Taiwan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 5.25 petang. Sabtu, dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaohsiung pada 9.55 malam, menurut syarikat penerbangan itu.
AirAsia mula terbang dari Taiwan pada 2004 dengan laluan Kuala Lumpur-Kaohsiung dan Kuala Lumpur-Taipei sentiasa popular, menurut syarikat penerbangan itu.
-- BERNAMA