Air Asia mula operasi penerbangan terus Singapura-Sibu
Shafik Ahmad
Disember 17, 2022 13:17 MYT
Disember 17, 2022 13:17 MYT
SINGAPURA: Air Asia memulakan penerbangan langsung pertamanya dari Singapura ke Sibu pada Jumaat bagi laluan baharu ke Sarawak.
Penerbangan pertama pada jam 4.20 petang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, membawa 180 penumpang dan mendarat di Lapangan Terbang Sibu pada jam 6.20 petang.
Berkongsi pengalaman pertama itu, Siaw Choo Mi dari Kapit berkata perjalanan pulangnya ke Sibu kali ini lebih mudah.
“Ini penerbangan pertama secara terus dari Singapura ke Sibu, sebelum ini kita terpaksa transit di Johor Bahru, ia lebih menyusahkan sebenarnya selain memakan masa lama dan menelan belanja yang lebih besar.
“Kita bergerak dari Singapura ke Johor, selepas itu menaiki penerbangan ke Kuching atau Sibu, tetapi untuk kali ini, ia lebih selesa, mudah dan cepat jadi secara tidak langsung kita boleh balik lebih awal,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Singapura, Logan Velaitham, berkata penambahan laluan baharu itu mendapat sambutan menggalakkan apabila penerbangan itu telah penuh ditempah kebanyakan rakyat Sarawak khususnya dari Sibu.
Selain Sibu, katanya, Air Asia Singapura telah mewujudkan laluan penerbangan secara terus ke Kuching dan Miri sebelum ini.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin ketika ditemui berkata untuk laluan Singapura-Sibu, Air Asia melakukan empat kali penerbangan seminggu.
“Kali ini, ia lebih memudahkan penumpang khususnya penduduk Sibu yang sebelum ini menggunakan penerbangan Singapura-Kuching atau Miri.
“Namun, kini mereka boleh menaiki penerbangan secara terus untuk ke Sibu atau Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan penumpang yang menaiki penerbangan pertama Singapura-Sibu di Lapangan Terbang Sibu pada lewat petang Jumaat.