AIR 2040 perkukuh pengurusan air negara, transformasi sektor air lebih mampan
Astro Awani
Disember 23, 2024 21:30 MYT
Disember 23, 2024 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) akan mentransformasi sektor air sebagai industri yang mampan, dinamik serta bernilai tinggi, sekali gus menyumbang kepada produktiviti negara.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, AIR 2040 juga memperkukuh pengurusan air negara melalui pendekatan yang lebih sistematik dan bersepadu.
Ia termasuk mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada sasaran 10 peratus menjelang 2040, jelas beliau.
Menurut Akmal, terdapat empat fasa dalam pelaksanaan agenda AIR 2040 berpandukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) hingga Rancangan Malaysia Kelima Belas (RMK15).
"Dalam tempoh lima tahun ini, memang kita nak memfokuskan kepada pemahaman bahawa kita kena ada integrasi pengurusan air atau Integrated Water Resources Management (IWRM).
"Ini kerana, walaupun kita kata ada sumber yang baik seperti hujan, takungan dan sebagainya, (tetapi) sekiranya pengurusan itu tidak disepadukan, maka di situ akan berlaku masalah dari segi limpahan air atau bila kemarau, akan berlaku kekurangan air.
"Sebab itu langkah yang seterusnya, ada fasa yang kita akan mula adaptasi teknologi supaya dibangunkan di peringkat tempatan, dan seterusnya di peringkat akhir sekali, sasaran pada 2040 supaya Malaysia menjadi hab air untuk serantau Asia Tenggara ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI 'Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040' yang disiarkan pada Isnin malam.
Fasa pertama dari 2021 hingga 2025 adalah mempergiatkan penerimagunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM); fasa kedua - membangunkan teknologi tempatan setanding dengan standard antarabangsa (2026-2030); fasa ketiga - mencapai ekonomi skala (2031-2035); manakala fasa keempat - menjadikan Malaysia menjadi sebuah hab industri air serantau (2036-2040).
Mengulas lanjut, Akmal berkata AIR 2040 memberi manfaat terus kepada rakyat dengan memastikan bekalan air yang berkualiti, stabil, serta mencukupi untuk memenuhi keperluan harian hingga 2040 dan seterusnya.
Beliau menambah, Kerajaan Madani pada tahun ini, di peringkat Kabinet telah meluluskan sejumlah dana untuk diagihkan kepada semua negeri bagi membaik pulih paip-paip kritikal dengan sasaran 28.8 peratus NRW menjelang 2030.
"Sebagai contoh, kadar statistik nasional NRW ketika ini ialah sekitar 33.4 peratus.
"Kalau tidak diuruskan dengan secara bersepadu, masalah yang kita hadapi (seperti) paip ini akan terus mendapat tekanan dari segi usianya kerana masih banyak perlu diselenggarakan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan jumlah paip yang perlu dibaik pulih adalah sekitar 12,000 kilometer, dengan kerajaan telah mengenal pasti 1,844km yang memerlukan baik pulih segera pada tahun depan.
"Kita telah bermesyuarat dengan operator air. Walaupun Kerajaan Persekutuan tiada tanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan aset ini sebab kita tahu operator-operator ini terletak di bawah Kerajaan Negeri.
"Tetapi kita berpandangan untuk menguruskan isu ini, kalau kerajaan tidak bantu dan meletakkan komitmen itu, pada akhirnya yang akan rugi adalah rakyat kerana air tidak berhasil," ujar Akmal.
Sehubungan itu, Akmal berharap kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta, badan pertubuhan kerajaan (NGO) serta rakyat penting dalam menjayakan agenda transformasi AIR 2040.