AIR 2040: Perkasa pengurusan air untuk masa depan rakyat dan negara

Nina Rozman
Oktober 29, 2024 13:18 MYT
Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof - Gambar PETRA
KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) adalah langkah yang kritikal bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam pengurusan sumber air agar dapat menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin meningkat.
Kajian AIR 2040, yang berlangsung selama 20 bulan sejak Mei 2020 oleh Kementerian Ekonomi bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai rakan strategiknya, bertujuan memastikan keselamatan dan kemampanan sumber air negara selain menjadikan air sebagai pemacu ekonomi baharu bagi Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Air), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri, dengan pembangunan infrastruktur, teknologi terkini dan jaminan bekalan air, langkah ini bukan sahaja dapat menjaga kebajikan rakyat tetapi juga meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.
Dalam perkongsian di program Niaga AWANI, beliau berkata, dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju juga, aspek pengurusan dan bekalan air yang mampan adalah elemen asas yang perlu diperkukuh.
“Kita perlu meneliti aspek-aspek yang perlu diperbaiki, khususnya dalam pembangunan loji rawatan air dan penggunaan teknologi, untuk memperkukuh perkhidmatan kepada pelanggan
“Daripada perspektif yang lebih luas, kehadiran pelabur mega seperti pusat data ke negara kita menuntut jaminan bekalan air yang stabil dan mencukupi.
“Oleh itu, adalah penting bukan sahaja untuk memperkukuh industri bekalan dan pengurusan sumber air, tetapi juga untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu,” tambah beliau.


Infrastruktur yang kukuh dan moden ini memberi jaminan kepada komuniti serta mengurangkan risiko bencana yang mungkin berlaku, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada masalah banjir atau kemarau. 


Selain itu, penggunaan teknologi membawa pelbagai manfaat kepada sektor perindustrian dan perniagaan, di mana bekalan air yang stabil dan pengurusan sumber yang teliti dapat memastikan keberkesanan operasi mereka.


Usaha ini sekali gus memberi Malaysia kelebihan sebagai negara yang mampu menawarkan prasarana berteknologi tinggi yang memenuhi keperluan sektor perindustrian berintensifkan air, seperti industri makanan dan minuman, pusat data dan pembuatan semikonduktor.


Tambah beliau, ketersediaan bekalan air yang terjamin merupakan faktor penting yang dipertimbangkan oleh pelabur antarabangsa. 


Malaysia yang dapat menyediakan sumber air yang stabil mempunyai daya tarikan yang besar bagi syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi dalam industri intensif air.


Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof pada Selasa di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
"Terdapat pelbagai reruai turut tersedia antaranya daripada agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang mengetengahkan hasil dan produk inovasi mereka untuk dikongsi bersama sehingga terdapat inovasi yang menawarkan konsep pembayaran alternatif bagi pembangunan infrastruktur dan sebagainya," kata beliau.
Melalui gabungan perspektif ini, ia akan merumuskan langkah-langkah praktikal untuk merealisasikan matlamat yang terkandung dalam dokumen AIR 2040, demi memartabatkan sektor air negara.
Peluncuran pelan hala tuju transformasi AIR 2040
#AIR 2040 #pelaburan #rakyat #sumber air #teknologi
;