Ainul tak sihat, keluarga tangguh hasrat pulang ke Malaysia

Sinar Harian
Julai 9, 2019 14:40 MYT
Kepulangan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 10 bulan, ke tanah air malam tadi terpaksa ditangguhkan. -Foto Sinar Harian
Kepulangan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 10 bulan, ke tanah air malam tadi terpaksa ditangguhkan apabila bayi istimewa itu tidak sihat.
Ibu saudaranya, Anis Sofiah Ahmad Razak, 22, dilapor berkata mereka sekeluarga sepatutnya menaiki penerbangan jam 9.35 malam tadi (waktu United Kingdom) namun terpaksa menangguhkannya kerana tidak mendapat kebenaran doktor.
“Abang hanya beritahu, doktor tidak benarkan Ainul balik lagi tetapi tidak dimaklum punca jangkitan.
“Ainul perlu mengambil ubat antibiotik semula sekurang-kurangnya seminggu, tetapi mereka mungkin akan berada di sana (UK) dua minggu lagi,” katanya sepertimana laporan Berita Harian.
Semalam, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, melalui posting di akaun Facebook memberitahu sedang melakukan persiapan untuk pulang ke Malaysia.
Ketika itu, katanya, Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’ semakin baik namun masih perlu dijaga rapi untuk memastikan anaknya sembuh dan kuat.
Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, Ainul mendapat jangkitan setelah mengharungi perjalanan yang panjang selama 13 jam penerbangan.
#Ahmad Safiuddin Ahmad Razak #Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin #Anis Sofiah Ahmad Razak #antibiotik #Germ Cell Tumour #tangguh perjalanan pulang
;