Ainul Mardhiah terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan - Bapa

Astro Awani
Ogos 1, 2022 20:12 MYT
Ainul Mardhiah berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan virus. - Gambar/ IG _nrlerwani
KUALA LUMPUR: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak yang sebelum ini selamat menjalani pembedahan akibat ketumbuhan dalam mulut, terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sebuah hospital.
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata, Ainul Mardhiah, 3, yang kini sedang tidur memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan selepas virus dikesan sudah merebak ke hampir seluruh tubuhnya.
"Tanda-tanda awal yang ditunjukkan Ainul sebelum ini hanyalah batuk biasa dan kemudian dirujuk ke fasiliti kesihatan pada Ahad.
“Ainul dapat jangkitan kuman dan kemungkinan ada sekali virus. Serangan kali ni agak kuat dan cepat. Serangan di tahap kritikal.
“Prosedur sinar-x dibuat ke atas Ainul dan nampak paru-parunya penuh tompok putih, begitu juga pada ususnya. Doktor kata, dalam tempoh tiga hari jangkitan kuman sangat kuat dan pantas.
“Hari ini (Isnin), doktor putuskan untuk sokong Ainul guna ventilator sebab virus itu mula merebak hampir di semua tempat. Para doktor di sini buat sehabis baik, support apa yang diperlukannya,” katanya di Facebook.
BACA: Ainul Mardhiah kritikal akibat jangkitan virus, ditempatkan di PICU - Ibu
BACA: Ainul Mardhiah selamat dibedah, tumor 200 gram berjaya dibuang
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, Ainul Mardhiah berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan virus.
Ibunya, Nurul Erwani Zaidi memaklumkan, anaknya itu kini ditempatkan di PICU sebuah hospital yang tidak didedahkan kepada umum.
Ainul Mardhiah yang menghidap ketumbuhan 'Germ Cell Tumour' seberat 200 gram di mulutnya selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di London, United Kingdom pada 2019 ketika berusia sembilan bulan.
Ketumbuhan pada mulutnya mula membesar sejak dilahirkan dan dibuang sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
BACA: Video Ainul Mardhiah mesra 'berceloteh' dengan ibu sentuh hati ramai
BACA: Happy Birthday... Ainul Mardhiah sambut ulang tahun pertama hari ini!
Sementara itu, pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri yang yang sebelum ini turut terbabit dalam pembedahan itu mengajak semua rakyat Malaysia mendoakan Ainul.
"Ya Allah Ya Tuhanku, marilah kita sama-sama doakan untuk adik Ainul. Keep fighting Ainul! You did it before, you can do it again! Ya Allah ," katanya dalam satu mesej di ruangan komen Instagram Nurul Erwani.
#Ainul Mardhiah #ketumbuhan dalam mulut #ditidurkan #kritikal
;