Ainul Mardhiah sudah boleh bernafas sendiri - Bapa
Siti Hajar Jamaludin, Amirah Shariffudin
Jun 13, 2019 22:17 MYT
Jun 13, 2019 22:17 MYT
Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini sudah boleh bernafas sendiri tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan yang dibuka pada malam Rabu, kata bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak.
Ahmad Saifuddin menyifatkan, ia respons positif yang menceriakan seluruh keluarga apabila melihat bayi lapan bulan itu semakin selesa dan aktif bergerak.
"Selepas pembedahan, kakak (Ainul) memakai alat ventilator untuk bantuan penafasan mengepam paru-parunya, tetapi semalam alat tersebut sudah dimatikan dan kini dia bernafas menggunkan paru-parunya sendiri tanpa sebarang bantuan.
"Daripada apa yang saya lihat tadi, kakak nampak semakin selesa bergerak ke kiri dan kanan ... keadaannya juga dilihat semakin baik dan stabil," katanya semasa dihubungi di sini, pada Khamis.
Perkembangan terkini mengenai keadaan Ainul terus mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila kemas kini terbaru yang dikongsikan Ahmad Safiuddin mula mendapat perhatian.
Menurut Safiuddin, keadaan Ainul semakin baik dan jika bertambah baik, akan dipindahkan ke wad biasa.
"Kakak sudah boleh terima susu, biasanya selepas pembedahan akan ada masalah untuk minum susu dan akan muntah. Tetapi Alhamdulillah, badannya sudah boleh menerima susu," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung sepenuhnya kepada tahap kesihatan terkini Ainul selain keputusan doktor pakar.
"Selepas kakak dipindahkan, rawatan susulan seterusnya akan diberikan seperti mengajarnya makan dan minum menggunakan mulut kerana bayi itu cleft palate (sumbing) sejak lahir.
"Terapi fizikal akan diberikan kepada Ainul oleh pakar di sana agar kakak boleh meniarap dan bergerak dengan lebih aktif seperti bayi lain," jelasnya.
Ainul yang menderita kanser 'germ cell tumor' tiba di London beberapa minggu lalu untuk rawatan sebelum menjalani pembedahan.
Pembedahan yang mengambil masa selama lima jam pada Isnin itu berjaya membuang keseluruhan 200 gram tumor di bahagian mulut Ainul.
#'germ cell tumor
#Ahmad Safiuddin
#Ainul Mardhiah
#bayi
#Dr Amalina Bakri
#London
#Malaysia
#Pembedahan