Ainul Mardhiah selamat pulang ke tanah air

Bernama
Julai 28, 2019 08:17 MYT
Ainul Mardhiah dibawa ke HKL untuk rawatan susulan dan pemantauan. - Gambar fail/Sinar Harian
Selepas lebih dua bulan dirawat di kota London bayi perempuan berusia 11 bulan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang selamat menjalani pembedahan di sana pulang ke tanahair.
"Alhamdulillah, Ainul sihat. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan. Alhamdulillah kami selamat sampai."
Itu merupakan kata-kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa Ainul Mardhiah kepada pemberita sebelum anaknya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan MH0003 dari London.
Ainul Mardhiah dibawa ke HKL untuk rawatan susulan dan pemantauan.
Beliau berkata anak perempuannya itu berada dalam keadaan baik sepanjang 12 jam penerbangan.
"Alhamdulillah keadaan semua 'ok' kami selamat sampai dan tiada sebarang masalah di atas 'flight'," katanya lagi.
BACA: Ramai bergenang air mata tengok video Ainul Mardhiah didodoi bapa
Ainul Mardhiah, bapanya dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, disambut lebih 20 orang keluarga terdekat di KLIA.
Penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.
Ainul Mardhiah yang menghidap kanser 'Germ Cell Tumor' tiba di London pada 25 Mei dan menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang tumor seberat 200 gram pada 10 Jun.
Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.
Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari bulan lepas.
Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.
-- BERNAMA
#Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin #Ainul selamat pulang #keluarga #KLIA #Kuala Lumpur #laman sosial #London #Mahathir Mohamad #penerbangan #United Kingdom
;