Ainul Mardhiah 'ditidurkan' sekali lagi, keluarga tidak akan berputus asa
Firdaus Azil
Ogos 10, 2022 15:35 MYT
Ogos 10, 2022 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak yang menjadi perhatian negara, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, sekali lagi diuji.
Menerusi catatan terbaharu di Facebooknya, Ahmad Safiuddin berkata, anak kesayangannya itu terpaksa diberi bantuan alat pernafasan, serta ditidurkan untuk mengawal sawan, serta merehatkan otaknya.
Katanya lagi, Ainul Mardhiah kelihatan sangat penat selepas diserang sawan panas beberapa kali.
“Saya doa semoga Allah SWT bukakan jalan dan bimbing para doktor cari punca masalahnya. Doktor semua sedang berusaha keras mencari jalan rawatan yang terbaik, saya saksikannya. Kakak-kakak misi pun semua jaga Ainul dengan baik.
“Kita usaha, kita doa dan akhir sekali, kita kena sedar bahawa Allah SWT jua lah pemilik segala kesembuhan dan kesihatan. DIA kalau nak bagi, tidak ada satu tangan pun boleh halang. Begitu juga jika DIA nak tarik nikmat nikmat yang ada dalam hidup kita hari ini,” katanya lagi.
Catatan itu sehingga berita ini ditulis, dikongsi sebanyak 264 kali dan rata-rata komen mendoakan agar keluarga kanak-kanak itu terus tabah dan tidak berputus dengan dugaan yang melanda mereka.
Mengulas lanjut, Ahmad Safiuddin berkata, dia reda dan menghalalkan apa jua yang terjadi kepada anaknya.
Namun, tegasnya lagi, itu tidak bererti dia dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, serta keluarga mereka akan berputus asa dan berhenti berdoa.
“Apa yang bakal berlaku, saya percaya itu lah yang terbaik dari-Nya,” katanya lagi.