Ain Husniza gerak projek pendidikan seksual melalui buku kartun, lindungi kanak-kanak

Bernama
November 4, 2024 14:15 MYT
Ain Husniza berkata buku aktivti berwarna-warni dengan ilustrasi mudah difahami itu bertujuan memberi pemahaman asas kepada kanak-kanak tentang keselamatan diri, hak mereka dan bahaya gangguan seksual. - Bernama
KUALA LUMPUR: Mengajar kanak-kanak tentang pendidikan seksual masih dianggap tabu bagi sebahagian masyarakat yang menganggap perbincangan topik ini tidak sesuai dengan usia golongan itu.
Sehubungan itu, sembilan anak muda berganding bahu menubuhkan Pocket of Pink (POP) bagi mengubah persepsi berkenaan, menerusi modul 20 muka surat dalam bentuk kartun berjudul Express to Empower: Bodies, Boundaries and Identity, sebagai inisiatif pendidikan
Ain Husniza Saiful Nizam, 20, yang bertindak sebagai pereka grafik dan ketua projek, berkata buku aktivti berwarna-warni dengan ilustrasi mudah difahami itu bertujuan memberi pemahaman asas kepada kanak-kanak tentang keselamatan diri, hak mereka dan bahaya gangguan seksual.
Pelajar jurusan politik antarabangsa di University of Nottingham Malaysia itu berpendapat pendidikan seksual tidak seharusnya dilihat sebagai penggalak aktiviti seksual, tetapi lebih kepada langkah mendidik mereka tentang anatomi manusia, dan seterusnya melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual.
"Ramai kanak-kanak sebenarnya tidak tahu apakah itu gangguan seksual atau apa yang dimaksudkan dengan amang seksual. Realiti ini amat menakutkan. Mereka tidak sedar bahaya di sekeliling mereka dan tidak tahu cara untuk bersuara jika berdepan dengan situasi tersebut," katanya kepada Bernama.
"Justeru, kanak-kanak perlu mengenali tubuh mereka sendiri dengan jelas agar mereka tahu apa yang sedang berlaku jika terjadi sesuatu yang tidak sepatutnya," tegasnya.
Tambahnya, antara konsep utama dalam modul tersebut ialah "Good Crowd" yang mendidik kanak-kanak tentang cara membina hubungan sihat dan memastikan didikan berlaku secara menyeluruh.
Mengulas tentang penggunaan kartun dalam modul, Ain Husniza berkata pendekatan itu dirasakan paling sesuai dengan usia kumpulan sasaran mereka, selain kartun juga merupakan medium ampuh dalam penyampaian mesej yang sukar.
Modul ini juga menggunakan bahasa mudah dengan kandungan aktiviti seperti teka silang kata agar pembelajaran lebih menyeronokkan, tambahnya.
Gadis ini juga percaya penggunaan istilah sebenar bagi merujuk alat sulit adalah perlu, berbanding perkataan kiasan seperti "bunga" atau "ultraman" untuk membincangkan alat kelamin perempuan dan lelaki.
Modul berbahasa Inggeris itu dibangunkan bermula September lalu dan diperkenalkan kepada orang awam buat pertama kali pada Festival Kartun Gen Z, di sini baru-baru ini.
Menurut Ain Husniza, buku kartun itu mendapat perhatian masyarakat, terutama ibu bapa yang mengunjungi reruai mereka.
"Kami dalam proses menerbitkan versi berbahasa Melayu," jelasnya, menambah POP juga merancang memperkenalkan lebih banyak buku dalam siri sama, berkisarkan aspek-aspek seperti sentuhan selamat, keselamatan di sekolah dan buli.
"Kami juga merancang mengadakan program jelajah agar lebih ramai kanak-kanak dan ibu bapa dapat akses buku ini.
"Ancaman seperti pedofilia dan eksploitasi kanak-kanak kini semakin nyata. Pendidikan seksual sepatutnya dilihat sebagai benteng pertahanan pertama untuk anak-anak kita. Lagi muda mereka belajar, lagi bersedia mereka untuk menjaga diri sendiri," ujarnya yang berharap kementerian berkenaan memberi sokongan kepada usaha mereka.
"Buat masa ini buku ini dijual pada harga RM25 senaskah tetapi kami harap dengan sokongan pelbagai pihak, modul ini dapat diedarkan secara percuma nanti," katanya.
-- BERNAMA
#pendidikan seksual #Kanak-kanak #Pocket of Pink #Ain Husniza
;